BELANJAWAN 2025 > BERITA

YKM Akan Kerjasama Dengan Wakil Rakyat Bantu Daftar Anak Yatim Mangsa COVID-19

16/10/2025 08:34 PM

JASIN, 16 Okt (Bernama) -- Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) akan bekerjasama dengan wakil rakyat di seluruh negara dalam usaha mendapatkan maklumat bagi membantu anak-anak yang kehilangan tempat bergantung akibat COVID-19. 

Pengerusi YKM Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata setakat ini hanya kira-kira 1,000 orang mendaftar di bawah Bantuan Kasih yang disalurkan secara bulanan dan beliau berharap lebih ramai tampil mendaftar. 

"Saya percaya masih ramai yang belum tahu bagaimana hendak mendaftar bagi bantuan yang disalurkan YKM ini terutama anak-anak yang kehilangan ibu atau ayah kerana COVID-19 dan saya mengalu-alukan maklumat mengenai mereka ini daripada wakil rakyat di setiap kawasan. 

"Pendaftaran untuk Bantuan Kasih masih terbuka kepada mereka yang layak dan kita mahu pastikan tiada sesiapa yang tertinggal daripada menerima sumbangan bulanan berjumlah RM200 bagi berumur 16 tahun ke bawah manakala RM250 bagi 16 tahun ke atas," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Terdahulu, beliau menyampaikan bantuan perayaan sempena Deepavali kepada S. Mittra, 16, yang kehilangan bapanya akibat COVID-19 pada Feb 2022 dan kini menumpang teduh di rumah bapa saudaranya R. Murugappan di Taman Merlimau Utara di sini. 

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh. 

Ismail Sabri berkata selain Mittra, sebanyak 10 keluarga masyarakat India di seluruh negara akan menerima bantuan sempena Deepavali dengan sumbangan akan mula dikreditkan dalam akaun bank masing-masing bermula esok. 

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata setakat September lepas, YKM telah menyalurkan lebih RM3 juta bagi Bantuan Kasih, Bantuan Perayaan dan Bantuan Menara Gading dan dijangka mencecah RM5 juta pada hujung tahun ini. 

"YKM komited dalam membantu anak-anak dalam bidang pendidikan dan akan terus menyalurkan sumbangan sehingga mereka tamat pengajian. Usaha ini mencerminkan usaha berterusan terhadap kebajikan dan pendidikan anak-anak yatim dan yatim piatu yang terkesan akibat COVID-19," katanya.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan