KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak berkaitan agar merebut peluang ke arah mewujudkan keamanan yang menyeluruh dan berkekalan di Gaza, susulan laporan mengenai kemajuan rundingan gencatan senjata.
Anwar berkata perkembangan itu memberikan sinar harapan selepas berbulan-bulan penderitaan dan kemusnahan yang tidak tertanggung di wilayah berkenaan.
“Saya mengalu-alukan laporan mengenai kemajuan dalam rundingan gencatan senjata di Gaza.
“Setiap usaha bagi menamatkan keganasan dan melindungi nyawa orang tidak berdosa mesti dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan segera,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut menegaskan semula solidariti penuh Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin dalam menuntut keadilan, maruah dan penubuhan negara sendiri.
Media hari ini melaporkan bahawa kumpulan Palestin, Hamas, bersetuju dengan fasa pertama pelan gencatan senjata Gaza yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, sambil menghargai usaha yang turut digerakkan oleh Türkiye, Qatar dan Mesir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial