KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berharap cadangan yang dikemukakan badan induk itu akan mendapat pertimbangan sewajarnya dalam Belanjawan 2026 yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat, esok.
Beliau berkata pelbagai sesi libat urus telah diadakan bersama Menteri Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara (MSN) serta Institut Sukan Negara (ISN) bagi memperkukuh hala tuju pembangunan sukan khususnya badminton.
“Dalam sesi libat urus, kita juga berjumpa Menteri Belia dan Sukan bersama MSN dan ISN. Kita telah menyuarakan cadangan kita dan pada masa yang sama, melalui KBS, saya harap Kementerian Kewangan dapat memberikan pertimbangan yang sewajarnya.
“Kerana kita dapat lihat bahawa contohnya kemenangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei telah membawa satu suntikan semangat nasionalisme, semangat untuk membawa Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi lagi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, hari ini.
Mengulas mengenai peruntukan sukan yang sering menjadi perhatian umum, Tengku Zafrul menekankan kepentingan penglibatan sektor swasta dalam mengukuhkan ekosistem industri sukan negara.
“Saya berpendapat di sinilah pentingnya mendapatkan penglibatan sektor swasta kerana industri sukan adalah satu industri yang besar...perlu lihat bagaimana kita boleh hasilkan keuntungan daripada aset yang kita ada.
“Jadi kita tak boleh bergantung pada kerajaan sahaja...dan bercakap sebagai anggota Kabinet, kita perlu mengutamakan apa yang kita ada dari segi sumber, dari segi hasil,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut ‘menenangkan’ kegusaran orang ramai yang mempersoalkan pendirian atlet badminton negara berhubung konflik di Gaza dengan menjelaskan bahawa BAM mengecam sekeras-kerasnya kekejaman yang berlaku di sana.
Beliau berkata BAM memahami sensitiviti dan emosi masyarakat terhadap isu tersebut namun menegaskan setiap pemain berhak menzahirkan pandangan mereka dengan cara tersendiri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial