KUCHING, 4 Okt (Bernama) -- Proses pengiktirafan Sarawak Delta Geopark yang merangkumi kawasan Taman Negara Santubong sebagai UNESCO Global Geopark (UGGp) kini berada pada fasa akhir.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kawasan Santubong sememangnya menjadi pusat penting terutamanya daripada aspek sejarah serta semula jadi yang berpotensi diiktiraf pada peringkat antarabangsa.
“Buat masa ini kawasan Santubong telah diiktiraf sebagai geopark nasional jadi sekarang ini kita mahu angkat pada peringkat antarabangsa.
“Kita kini (pada fasa akhir), hanya menunggu untuk disahkan sahaja daripada pihak UNESCO,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Santubong Archeological Park dan Wallace Centre di sini hari ini.
Sementara itu, Abang Johari berkata kerajaan Sarawak bersetuju untuk melaksanakan projek naik taraf jalan daripada dua lorong kepada empat lorong di kawasan Santubong.
“Kita juga akan membina jambatan kedua baharu dan semua projek ini akan mengambil masa dalam tempoh tiga tahun untuk dilaksanakan.
“Projek ini akan meningkatkan accessibility ke kawasan Santubong supaya menjadi pusat pelancong,” katanya.
Pada 9 Sept lepas, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memaklumkan pengiktirafan Lenggong Geopark dan Sarawak Delta Geopark menjadikan Malaysia bakal memiliki UGGp ketiga dan keempat selepas Langkawi dan Kinabalu sekali gus mengukuhkan kedudukan negara dalam usaha pemuliharaan alam semula jadi serta pengurusan mampan kawasan bernilai antarabangsa.
Kedua-dua geopark berkenaan menerima status Green Card daripada Mesyuarat ke-10 UNESCO Global Geoparks Council yang berlangsung di Kultralkura UNESCO Global Geopark, Chile, pada 5 dan 6 Sept lepas.
Lenggong dan Sarawak Delta Geopark diiktiraf bersama tujuh geopark lain daripada pelbagai negara dan keputusan itu akan dibawa ke Lembaga Eksekutif UNESCO untuk pengesahan sebelum pengiktirafan rasmi sebagai UGGp diberikan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial