KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Setelah empat dekad penubuhan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) akan meningkatkan lagi sumbangan kepada negara melalui penyelidikan berimpak tinggi, inovasi hijau dan pemuliharaan biodiversiti.
Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Ismail Parlan berkata beliau optimis bahawa dengan sokongan berterusan daripada semua pihak, institut itu akan terus relevan dan berwibawa sebagai institusi penyelidikan unggul demi kesejahteraan rakyat dan generasi masa hadapan.
"FRIM akan terus memainkan peranan utama dalam bidang penyelidikan perhutanan tropika, biodiversiti, perubahan iklim, bioteknologi, keluaran hutan dan pembangunan berasaskan sumber semula jadi," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata kejayaan FRIM sepanjang 40 tahun merupakan hasil komitmen berterusan kementerian, rakan kerjasama, pihak berkepentingan serta warga FRIM.
Bersempena dengan ulang tahun ke-40 penubuhan FRIM sebagai badan berkanun, Hari Terbuka FRIM dianjurkan di kampus utama dan Taman Botani Kepong semalam, yang berjaya menghimpunkan lebih 5,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar, penyelidik, industri, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.
Majlis pelancaran Hari Terbuka FRIM itu dirasmikan oleh Ismail, yang turut dihadiri mantan Ketua Pengarah FRIM Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor, Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) FRIM Dr Norwati Muhammad, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Mahmudin Saleh, serta Anggota Institut FRIM, iaitu Datuk Razali Mohamad (Kementerian Perladangan dan Komoditi), Dr Ahmad Aldrie Amir (Universiti Kebangsaan Malaysia), Farydatul Nazly Mohd Zin dan Noorazimah Sarkom (Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia).
Sambutan tahun ini juga lebih bermakna apabila FRIM menerima pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO keenam di Malaysia dan pertama di Selangor, yang memperkukuh kedudukan FRIM sebagai peneraju penyelidikan perhutanan tropika dan destinasi ekopelancongan bertaraf dunia.
"Daripada kawasan bekas lombong bijih timah, kampus FRIM kini menjadi hutan hujan tropika buatan manusia terawal di dunia, sekali gus diiktiraf sebagai model pemulihan ekologi yang berjaya," menurut kenyataan itu.
Sebagai acara simbolik, Ismail bersama-sama dif jemputan menanam pokok jelutong (Dyera costulata) di Jalan Jelutong, yang turut mencatat penanaman ke-100,000 di bawah Kempen Penanaman 100 Juta Pokok.
Antara aktiviti pada Hari Terbuka FRIM termasuklah pertandingan FRIMazing Race, lawatan ke denai alam dan Jejantas Rimba (Forest Skywalk), pameran penyelidikan, demonstrasi teknologi terkini, sesi Pocket Talk serta lawatan berpandu ke makmal penyelidikan.
Pengunjung juga berpeluang melawat pusat rujukan penyelidikan berprestij seperti Herbarium dan Insektarium yang menampilkan koleksi flora dan fauna tropika bernilai tinggi, selain Pusat Teknologi Herba (HTC), Galeri Buluh dan Rotan serta Pameran Konservasi Gajah oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial