BELANJAWAN 2025 > BERITA

Syarikat Tujuan Khas Solarvest, Press Metal Meterai PPA Solar RM380 Juta Dengan SESCO Sarawak

03/10/2025 06:29 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Mukah Solar Powerplant Sdn Bhd (MSPSB), syarikat tujuan khas milik Solarvest Holdings Bhd dan Press Metal Aluminium Holdings Bhd (MSPSB) memeterai perjanjian pembelian tenaga (PPA) bernilai RM380 juta dengan syarikat kerajaan negeri Sarawak, Syarikat SESCO Bhd.

Perjanjian berkenaan untuk pembangunan loji solar fotovoltaik (PV) arus ulang-alik (MWac) berkapasiti 100 megawatt di Mukah.

Dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia hari ini, kedua-dua syarikat berkata Solarvest memegang 60 peratus kepentingan dalam MSPSB, dengan lebihan 40 peratus lagi dimiliki oleh Press Metal. Perjanjian itu bagi tempoh 30 tahun.

“PPA ini memberikan MSPSB dengan kebolehlihatan perolehan jangka panjang di samping mengukuhkan kedudukan Press Metal dalam tenaga boleh baharu (TBB) dan menyokong matlamatnya untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

“Selain itu, projek yang dicadangkan ini adalah langkah menuju sasaran TBB Sarawak sebanyak 10 gigawatt menjelang 2030 dan visi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk mencapai 70 peratus kapasiti TBB menjelang 2050, memperkukuh komitmen bersama kami terhadap pembangunan mampan dan peralihan tenaga,” kata Press Metal.

Sementara itu, Solarvest tidak menjangka sebarang risiko luar biasa selain risiko operasi normal berkaitan PPA dan kemudahan itu, katanya sambil memaklumkan akan melaksanakan langkah perlu untuk mengurangkan risiko berkenaan sekiranya berlaku.

“Lembaga pengarah syarikat berpendapat pelaksanaan PPA ini demi kentingan Solarvest,” katanya.

Menurut kedua-dua syarikat projek ini akan dibiayai terutamanya melalui pinjaman bank, dengan bahagian ekuiti dibiayai secara dalaman. Operasi komersial dijadualkan bermula pada 30 Nov 2027.

PPA ini masih tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa Majlis Perancangan Negeri Sarawak dan Jabatan Alam Sekitar, serta pemeteraian perjanjian tapak.

Dalam kenyataan berasingan, Malakoff Corporation Bhd mengumumkan anak syarikat milik 70 peratusnya, Malakoff Evergreen Sdn Bhd memeterai PPA selama 30 tahun dengan SESCO bagi  projek solar PV 100MWac di Bintulu, yang dijangka memulakan operasi pada 1 Mei 2028.

“Pemeteraian PPA ini dijangka tidak memberi kesan yang ketara terhadap aset bersih dan pendapatan Malakoff bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025.

“Bagaimanapun syarikat menjangka sumbangan pendapatan yang positif daripada kemudahan itu bermula sejak tarikh operasi komersial sepanjang tempoh 30 tahun,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan