BELANJAWAN 2025 > BERITA

Himpun Peserta Berbusana Etnik Tradisional Terbanyak, JOJ Parit Yaani Tersenarai MBOR

05/10/2025 12:49 PM

BATU PAHAT, 5 Okt (Bernama) -- Program Jelajah Orang Johor (JOJ) Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya menghimpunkan 1,502 peserta berbusana etnik tradisional sempena Pesta Tanglung sekali gus mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani Datuk Mohamad Najib Samuri berkata kejayaan itu membuktikan semangat perpaduan masyarakat pelbagai kaum di kawasan berkenaan yang dizahirkan melalui aktiviti kebudayaan.

Beliau berkata penglibatan semua lapisan masyarakat dalam program berkenaan bukan sahaja dapat menyemarakkan semangat muhibah di daerah Batu Pahat, malah seiring dengan agenda Maju Johor yang menekankan perpaduan rakyat.

“Selain 1,502 peserta berbusana etnik tradisional, kira-kira lebih 5,000 pengunjung turut hadir memeriahkan pelbagai aktiviti sampingan dalam program JOJ yang diadakan di kawasan parkir sebuah pasar raya.

“Lebih menarik, sebanyak 5,000 tanglung berlogo Maju Johor diedarkan secara percuma kepada orang ramai sekali gus menarik perhatian pengunjung untuk turut sama meraikan pesta ini,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah Pengarah Tourism Johor Mohammad Nazrul Abd Rahim dan wakil rasmi MBOR Megat Farish Hussein Megat Muzaffar Shah.

Megat Farish berkata DUN Parit Yaani menjadi penganjur pertama di Malaysia yang berjaya menganjurkan pesta tanglung dengan jumlah peserta berpakaian tradisional terbanyak sekali gus mencatat rekod baharu dalam MBOR.

Sementara itu, peserta program Nurul Fadila Maisara Ahmad, 23, berkata penyertaan kali pertamanya amat bermakna kerana dapat merasai suasana kemeriahan sambil mengenakan pakaian tradisional Melayu.

“Program itu bukan sahaja melambangkan perpaduan rakyat di daerah ini, malah memperkenalkan budaya negara kepada pelancong luar yang turut hadir menyaksikannya,” katanya.

Seorang lagi peserta, Siti Adila Kassim, 25, berkata bukan mudah menghimpunkan ribuan rakyat untuk bersama-sama meraikan budaya negara, apatah lagi dengan mengenakan busana tradisional masing-masing.

Bagi Tan Geok Seng pula, dia kagum dengan semangat perpaduan rakyat berbilang bangsa yang diraikan melalui aktiviti kebudayaan seperti itu, dan berharap penganjuran seumpamanya dapat diteruskan bagi memupuk semangat harmoni terutama dalam kalangan generasi muda.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan