BELANJAWAN 2025 > BERITA

KSN Ucap Tahniah Atas Kejayaan Anwar Runding Gencatan Senjata Thailand-Kemboja

29/07/2025 04:37 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menzahirkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sumbangan besar beliau dalam menjayakan mesyuarat khas rundingan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand di Putrajaya semalam.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata usaha yang digerakkan Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN 2025 itu memperlihatkan komitmen Malaysia dalam memainkan peranan proaktif di peringkat serantau.

"Perdana Menteri Malaysia menjadi sosok penting ke arah usaha damai menghentikan konflik di antara kedua-dua negara, Kemboja danThailand.

"Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 telah memainkan peranan penting dalam semangat muafakat, rundingan damai, prinsip kemanusian dan menjamin keselamatan serantau," katanya.

Semalam, Anwar mengumumkan bahawa Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat bagi meredakan ketegangan di sepanjang sempadan yang dipertikai, hasil mesyuarat khas yang dipengerusikan beliau di Putrajaya.

Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai menghadiri mesyuarat berkenaan.

Turut hadir Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia Edgard Kagan dan Duta China ke Malaysia Ouyang Yujing.

AS merupakan penganjur bersama mesyuarat itu manakala China hadir sebagai pemerhati bagi menyokong penyelesaian damai terhadap situasi yang sedang berlaku.

Kedua-dua negara berjiran Asia Tenggara itu mempunyai sejarah panjang pertikaian diplomatik melibatkan 817 kilometer sempadan bersama yang belum ditandakan sepenuhnya.

Ketegangan antara Thailand dan Kemboja memuncak sejak 28 Mei susulan pertempuran antara tentera kedua-dua negara berhampiran kawasan sempadan di Preah Vihear, yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.

Konflik terbaharu tercetus pada 24 Julai lepas dengan beberapa insiden pertempuran dilaporkan di kawasan sempadan di utara Kemboja yang mengakibatkan korban jiwa di kedua-dua pihak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan