BELANJAWAN 2025 > BERITA

MB Johor Lawat Singapura Di Bawah Fellowship Pertukaran Lee Kuan Yew

30/07/2025 12:43 AM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 29 Julai (Bernama) -- Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi akan mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Singapura bermula Rabu ini atas jemputan Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan.

Menurut Kementerian Luar Singapura, Onn Hafiz turut mengadakan lawatan itu sebagai penerima Fellowship Pertukaran  Lee Kuan Yew (LKYEF).

Beliau merupakan penerima LKYEF ke-82 dan yang kesembilan dari Malaysia.

“LKYEF, yang ditubuhkan sejak 1991, menjemput tokoh-tokoh terkemuka untuk melawat Singapura. Pemilihan dibuat berdasarkan rekod pencapaian dan potensi mereka untuk menyumbang kepada pembangunan negara masing-masing serta pengukuhan hubungan dua hala dengan Singapura,” menurut kenyataan kementerian itu pada Selasa.

Semasa lawatan, Onn Hafiz dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Singapura Lawrence Wong serta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Industri Gan Kim Yong.

Beliau juga akan bertemu Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial merangkap Menteri Kesihatan Ong Ye Kung, Menteri Pembangunan Negara Chee Hong Tat, Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow serta Pengerusi LKYEF Lee Tzu Yang. 

“Beliau akan menerima taklimat dan mengadakan lawatan tapak berkaitan pembangunan bandar serta pengurusan penjaja,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan