BELANJAWAN 2025 > BERITA

CAP Sambut Baik Cadangan Larangan Vape Seluruh Negara

29/07/2025 03:11 PM

GEORGE TOWN, 29 Julai (Bernama) -- Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyambut baik tindakan Kementerian Kesihatan (KKM) yang sedang meneliti secara terperinci langkah ke arah pengharaman sepenuhnya penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau vape di Malaysia.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kadeer menyifatkan langkah itu sesuai pada masa ini kerana larangan terbabit akan dapat menyelamatkan generasi akan datang berikutan vape dan produk tembakau berbahaya serta menyebabkan ketagihan.

"Produk tembakau dan vape juga mengandungi bahan toksik. Terdapat juga peningkatan kes vape yang dicampur dengan bahan terlarang," katanya dalam kenyataan hari ini, yang turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad atas cadangan dan penelitian larangan itu.

Semalam, Dzulkefly berkata sebarang cadangan pengharaman penuh akan mengambil kira pelbagai faktor termasuk bukti saintifik, kes EVALI (kecederaan paru-paru yang dikaitkan dengan penggunaan rokok elektronik atau vape), aspek perundangan, implikasi terhadap industri, ekonomi serta keberkesanan penguatkuasaan.

Pada masa ini, enam negeri telah menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen penjualan rokok elektronik, iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan