BELANJAWAN 2025 > BERITA

KTMB Sedia Dua Perkhidmatan ETS Tambahan Sempena Cuti Sekolah, Cuti Umum

30/07/2025 01:09 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) akan menyediakan dua  perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan bagi laluan KL Sentral-Padang Besar dan sebaliknya sempena cuti sekolah penggal kedua serta cuti umum Hari Kebangsaan, Maulidur Rasul dan Hari Malaysia. 

KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkhidmatan tren tambahan itu akan beroperasi selama 18 hari bermula 28 Ogos-1 Sept, 5-7 Sept serta 2-21 Sept dan tiket akan dijual mulai 10 pagi esok.

“Tren ini akan beroperasi selama 18 hari dan menawarkan 630 tempat duduk sehari, termasuk kemudahan kelas perniagaan. Secara keseluruhan, 11,340 tempat duduk disediakan sepanjang tempoh operasi tren tambahan ini,” menurut kenyataan itu.

Menurut KTMB, ETS tambahan akan bergerak dari Padang Besar pada 11.05 pagi dan tiba ke KL Sentral pada 4.30 petang manakala ETS tambahan dari KL Sentral akan bergerak pada 5 petang dan tiba di Padang Besar pada 10.20 malam.

Kenyataan itu memaklumkan perkhidmatan tren tambahan bertujuan menampung permintaan tinggi pada musim cuti umum serta menggalakkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman memilih pengangkutan awam untuk mengelakkan kesesakan trafik.

“Langkah ini juga diambil selari dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Julai lepas yang memberi cuti tambahan pada 15 Sept ini. Usaha ini sejajar dengan komitmen KTMB untuk menyediakan perkhidmatan terbaik dalam memastikan perjalanan penumpang lebih selesa, lancar dan memenuhi keperluan pengguna," menurut kenyataan itu.

KTMB turut menggalakkan orang ramai untuk merancang perjalanan dan membuat pembelian tiket lebih awal bagi menikmati tambang fleksibel yang lebih menjimatkan serta mengelakkan pembelian pada saat akhir.

Pengguna juga disarankan untuk hadir di stesen 30 minit lebih awal bagi memudahkan urusan dokumentasi dan pintu akan ditutup lima minit sebelum tren berlepas, sekali gus memastikan perjalanan yang lebih lancar dan selesa.

Pengguna turut disarankan mendapatkan tiket secara dalam talian menerusi aplikasi KITS Style, versi yang telah ditambah baik dan dilancarkan dua minggu lepas dengan pelbagai kemudahan dalam satu platform digital yang boleh dimuat turun di Play Store, App Store dan AppGallery.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan boleh melayari laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-97791200

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan