BELANJAWAN 2025 > BERITA

Enakmen Tadbir Urus Karbon Sabah Buka Peluang Pelaburan Dalam Pasaran Karbon

29/07/2025 02:57 PM

KOTA KINABALU, 29 Julai (Bernama) -- Kelulusan Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada 8 Julai lepas membuka peluang besar kepada Sabah untuk menarik pelaburan dalam pasaran karbon, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata enakmen itu yang kemudiannya membawa kepada penubuhan Majlis Tindakan Iklim Sabah, Dana Iklim dan inventori pelepasan peringkat negeri serta rangka kerja perkongsian manfaat, terutamanya dengan komuniti pribumi.

“Asas perundangan ini memberi kepastian yang diperlukan oleh pelabur, tetapi peluang yang lebih besar terletak pada kerjasama ASEAN. Untuk mengembangkan sektor ini, kita memerlukan pasaran karbon serantau yang berfungsi dengan standard bersama, penyelarasan peraturan, dan pengiktirafan bersama kredit merentas sempadan.

"Sabah bersedia bekerjasama dengan negara-negara ASEAN lain untuk menggerakkan agenda ini,” katanya menerusi ucapan yang dibacakan oleh Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun pada Sidang Kemuncak Perhutanan Mampan ASEAN 2025 di sini hari ini.

Hajiji menegaskan Sabah kini merupakan sebuah bidang kuasa penyerap bersih iaitu menyerap lebih banyak karbon berbanding pelepasannya.

Dianggarkan negeri itu menyumbang kira-kira 36 peratus daripada jumlah pemerangkapan karbon Malaysia, yang disifatkan sebagai “aset ekonomi strategik” dalam dunia yang semakin menekankan pengurangan karbon.

Sabah melancarkan Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan pada 2022, iaitu pelan 15 tahun untuk memulihkan 400,000 hektar hutan terosot, yang dijangka menyumbang lebih RM11 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah serta mewujudkan 40,000 peluang pekerjaan sepanjang rantaian nilai apabila direalisasikan sepenuhnya.

Hajiji turut memaklumkan bahawa sektor perhutanan kekal sebagai sektor strategik untuk Sabah, dengan hasil royalti balak meningkat kepada RM171 juta pada 2024, iaitu kenaikan sebanyak RM16 juta berbanding tahun sebelumnya, manakala jumlah eksport terus mencatatkan pertumbuhan kukuh, khususnya ke Jepun, Amerika Syarikat dan Taiwan.

Pada masa yang sama, sebagai pengeluar minyak sawit mentah (CPO) terbesar di Malaysia, dengan menyumbang lebih 25 peratus daripada pengeluaran negara, Sabah kini memperkukuh kedudukannya dalam industri sawit melalui pelaburan dalam pemprosesan hiliran, biofuel, dan inovasi berasaskan sawit, kata beliau.

“Perhutanan dan iklim kini menjadi teras strategi ekonomi Sabah, Malaysia dan ASEAN. Kita tidak lagi melihat kemampan sebagai pilihan. Ia kini menjadi sebahagian daripada cara kita mewujudkan pekerjaan, menarik pelaburan dan meningkatkan daya tahan ekonomi,” kata Hajiji.

Sidang kemuncak yang dianjurkan bersama oleh KSI Strategic Institute for Asia Pacific dan ASEAN Economic Club itu menghimpunkan penggubal dasar, pemimpin industri dan pakar alam sekitar dari seluruh Asia Tenggara bagi membincangkan keperluan mendesak terhadap perhutanan mampan dan ketahanan iklim.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan