KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan sahabat bekas wartawan Utusan Malaysia Nurulanuar Mansor yang meninggal dunia semalam.
Menerusi hantaran di Facebook, Fahmi menzahirkan dukacita atas berita pemergian ahli Kelab Wartawan Kuala Lumpur dan Selangor (KLS) itu dan menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang amat berbakat dalam bidang seni.
“Allahyarham pernah menghasilkan karikatur yang dihadiahkan kepada saya semasa Majlis Makan Malam Gabungan Kelab Media Malaysia, bulan lepas.
“Takziah kepada seluruh anggota keluarga dan sahabat handai Allahyarham. Saya doakan agar mereka diberikan kesabaran, ketabahan dan kekuatan dalam mendepani kehilangan ini,” katanya.
Fahmi turut mendoakan agar Allah SWT mengampunkan dosa, menerima amal dan menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan orang beriman.
Sementara itu, Presiden KLS Wan Syamsul Amly Wan Seadey ketika dihubungi Bernama memaklumkan Allahyarham Nurulanuar meninggal dunia di Hospital Putrajaya semalam, difahamkan akibat pembuluh darah pecah.
Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan selepas solat zuhur di Masjid Saidina Hamzah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Lebuhraya KL-Karak, Taman Selasih, Batu Caves.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial