BELANJAWAN 2025 > BERITA

Mekanisme AFA Pastikan Semakan Tarif Elektrik Lebih Telus - Fadillah

29/07/2025 01:37 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Mekanisme Automatic Fuel Adjustment (AFA) bagi menggantikan sistem sebelum ini bertujuan memastikan semakan tarif elektrik yang lebih telus dan sejajar dengan realiti pasaran bahan api global, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata melalui mekanisme baharu itu, tarif elektrik disesuaikan secara bulanan berbanding sistem sebelum ini, Imbalance Cost Pass-Through (ICPT), yang hanya disemak setiap enam bulan.

“Bagi pengguna domestik yang menggunakan bawah 600 kWj dikecualikan daripada AFA, manakala yang menggunakan lebih 600kWj mereka dikenakan caj sumber tenaga, sama ada gas dan arang batu. 

“Bagi Ogos, disebabkan kos minyak, gas dan sebagainya menurun, jadi untuk 1 hingga 31 Ogos rebat akan diberikan kepada bekalan tenaga ini sebanyak 1.545 sen per kwj, sebab penurunan harga…ia dibuat secara bulanan bukan lagi enam bulan, maknanya lebih tepat dan telus mengikut garis masa,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) sama ada kerajaan bercadang mempertimbangkan semakan tarif yang lebih fleksibel dan telus pada masa hadapan. 

Fadillah berkata semakan terkini itu turut melibatkan perubahan pendekatan daripada kategori berdasarkan sektor ekonomi kepada kategori penggunaan voltan.

Beliau berkata kerajaan menggalakkan pengguna yang menggunakan tenaga yang lebih tinggi untuk beralih kepada tenaga boleh baharu contohnya solar, bertujuan membantu pengguna menjimatkan kos serta mengurangkan penggunaan tenaga secara keseluruhan.

Menjawab soalan asal Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mengenai matlamat jadual tarif elektrik baharu dalam mencapai agenda peralihan tenaga dan kemampanan jangka panjang, Fadillah berkata ia adalah penambahbaikan kepada struktur sebelum ini berdasarkan empat prinsip utama.

Usaha itu termasuk penetapan tarif yang telus, struktur tarif yang mencerminkan kos pembekalan sebenar, pengagihan kos yang adil dan saksama kepada semua pengguna dan impak perubahan yang minimum kepada pengguna domestik.

“Struktur baharu ini merangkumi caj tenaga, caj kapasiti, caj rangkaian dan caj peruncitan bagi setiap kategori pengguna berbanding struktur lama yang hanya mempunyai komponen caj tenaga dan caj minimum.

“Dalam hal ini, struktur baharu adalah lebih telus dan memberikan pendedahan kepada pengguna mengenai kos yang perlu dibayar bagi mendapatkan bekalan elektrik,” katanya.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air melalui Suruhanjaya Tenaga telah mengumumkan jadual tarif elektrik baharu di Semenanjung pada 20 Jun lepas dengan pelaksanaannya bermula pada 1 Julai, 2025. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan