KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari digesa memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Thailand dan Kemboja susulan kenyataannya yang memperlekeh usaha gencatan senjata antara kedua-dua negara itu menerusi inisiatif diplomatik oleh Malaysia.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata tatkala dunia mengiktiraf peranan Malaysia khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai arkitek keamanan serantau, tindakan Ahli Parlimen Pasir Mas itu disifatkan sebagai tidak patriotik dan memalukan negara.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu berkata politik sempit pembangkang perlu ditolak selain pada masa sama tidak membenarkann suara-suara sumbang seumpamanya terus menjadi liabiliti kepada nama baik negara.
"Malaysia sama sekali tidak akan mempertahankan tindakan gopoh dan bebal mereka yang tidak ada secebis rasa hormat pada negara lain, apatah lagi negara jiran, dan pastinya kita juga tidak bersetuju sekiranya negara tercinta ini dihambur kenyataan biadab yang serupa.
"Tuntutan Islam yang sepatutnya meraikan pendamaian disanggah dengan kebencian politik, namun kita akan terus menjulang nama Malaysia dengan diplomasi, bukan retorik kosong kerana kita percaya pada penyelesaian berasaskan kemanusiaan bukan kebencian," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Muhammad Kamil berkata usaha perdamaian Thailand dan Kemboja itu bukan soal parti atau politik individu, sebaliknya soal maruah negara.
"Ini soal peranan Malaysia sebagai pemimpin yang disegani di rantau ini. Dunia menyambut baik usaha ini dari Presiden Amerika Syarikat, Presiden China hinggalah ke seluruh komuniti ASEAN tetapi pembangkang kita pula memilih untuk menjadi sinis dan pesimis.
"Mereka lupa semasa mereka berkuasa, tiada satu pun kejayaan diplomatik sebesar ini berjaya digerakkan untuk dicapai, apabila Kerajaan MADANI berdiri megah menegak serta melakar diplomasi di persada antarabangsa, memainkan peranan aktif menyelesaikan pertelagahan, pembangkang memilih untuk menyemai kebencian dan dendam kesumat," katanya.
Terdahulu, Ahmad Fadhli menerusi hantaran di laman sosial memuat naik gambaran tiga watak binatang iaitu kambing dan biri-biri yang sedang berebut pisang dengan seekor monyet bertindak sebagai hakim berserta kapsyen: "kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang,".
Hantaran itu turut disertakan dengan tangkap layar laporan berita mengenai konflik Thailand dan Kemboja, sekali gus menerima kecaman orang ramai.
Semalam, Anwar mengumumkan bahawa Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat bagi meredakan ketegangan di sepanjang sempadan yang dipertikaikan, hasil mesyuarat khas dipengerusikan beliau di Putrajaya.
Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai menghadiri mesyuarat berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial