BELANJAWAN 2025 > BERITA

Petronas Tubuh Majlis Peralihan, Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan Susulan Penstrukturan Semula

31/07/2025 12:42 AM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menubuhkan Majlis Peralihan dan Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan bertujuan menyelaras penempatan semula kakitangan secara adil dan berstruktur susulan penstrukturan semula organisasi itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menerusi jawapan bertulis yang dimuat naik di portal Dewan Rakyat berkata warga kerja yang terkesan akan menerima pakej pemisahan yang kompetitif dan sokongan menyeluruh melalui program peralihan.

Ia antara lainnya merangkumi bimbingan kerjaya, sokongan emosi, peningkatan kemahiran, perancangan kewangan dan bantuan penempatan semula pekerjaan melalui kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan inisiatif keusahawanan Petronas.

"Langkah-langkah ini merupakan sebahagian daripada strategi transformasi Petronas bagi meningkatkan daya tahan dan daya saing dalam menghadapi era peralihan tenaga.

"Ia dirangka secara strategik agar tidak menjejaskan sumbangan Petronas kepada hasil negara mahupun kesinambungan dasar pembangunan nasional," katanya.

Beliau menjawab soalan Sabri Azit (PN-Jerai) berhubung langkah kerajaan susulan keputusan Petronas mengurangkan lebih 5,000 tenaga kerja akibat penstrukturan semula syarikat dan kesan terhadap sumbangan Petronas kepada hasil negara.

Dalam perkembangan lain, menjawab soalan Datuk Seri Richard Riot Jaem (GPS-Serian) mengenai kedudukan terkini berhubung pertindihan kuasa antara Petronas dan Petros di Sarawak, Azalina memaklumkan Deklarasi Bersama yang ditandatangani pada 21 Mei, 2025 menjadi asas kepada pembentukan rangka kerja bersama antara kedua-dua organisasi itu.

Menerusi deklarasi berkenaan, Petronas akan terus menjalankan peranan dan tanggungjawab seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974, termasuk daripada aktiviti sektor huluan sehinggalah ke penjualan gas asli cecair (LNG) ke pasaran antarabangsa.

Petros pula dilantik oleh kerajaan negeri Sarawak sebagai aggregator gas bagi pasaran domestik Sarawak berkuat kuasa 1 Mac, 2025 dan pelantikan itu akan dihormati oleh semua pemain industri yang terlibat dalam pengedaran dan pembekalan gas kepada pengguna dalam negeri.

"Sebarang perjanjian dan pengaturan perjanjian sedia ada antara Petronas dan/atau anak-anak syarikatnya dengan pihak ketiga bagi tujuan penjualan LNG (dari sektor huluan hingga eksport LNG) tidak terjejas dan akan terus berkuat kuasa," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan