BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia–Vietnam Sedia Perkukuh Hubungan Dua Hala, Kerjasama Strategik - PM Anwar

30/07/2025 11:05 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Malaysia dan Vietnam bersedia untuk memperkukuh hubungan dua hala dan terus meneroka potensi kerjasama strategik antara kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata perkara itu antara inti pati perbincangan beliau dengan Perdana Menteri Vietnam Phạm Minh Chính menerusi perbualan telefon hari ini.

“Saya menghargai kesediaan Vietnam untuk menghantar delegasi peringkat menteri bagi memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua negara. Kami akan terus berhubung menjelang pertemuan seterusnya di China awal September depan,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.

Perdana Menteri berkata perbincangan itu turut menyentuh pelbagai perkembangan serantau serta isu global seperti tarif Amerika Syarikat, di samping meneroka potensi kerjasama masa hadapan dalam bidang inovasi, keselamatan tenaga serta inisiatif Grid Kuasa ASEAN.

“Kami menyambut baik kemajuan positif dalam rundingan gencatan senjata antara Thailand dengan Kemboja, termasuk lawatan pasukan pemantau yang diterajui Malaysia ke kawasan terlibat.

“Kedua-dua pihak turut menegaskan kepentingan pemantauan berterusan bagi menjamin kestabilan dan keamanan rantau ASEAN,” kata Anwar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan