BELANJAWAN 2025 > BERITA

Trump Ucap Tahniah Kepada Manet Atas Kejayaan Rundingan Gencatan Senjata Di Malaysia

29/07/2025 09:02 AM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 29 Julai (Bernama) -- Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Kemboja Hun Manet atas kejayaan beliau memimpin rundingan gencatan senjata dengan Thailand pada Isnin.

Mesyuarat khas Thailand-Kemboja yang berlangsung di Putrajaya, Malaysia menyaksikan kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk menghentikan permusuhan di sepanjang sempadan utara Kemboja.

Setakat tengah malam, tiada insiden tembakan dilaporkan di kawasan bergolak itu. 

“Sekembalinya saya ke Kemboja selepas rundingan gencatan senjata yang berjaya antara tentera Kemboja dan Thailand di Malaysia, saya menerima panggilan telefon daripada Presiden Donald Trump yang mengucapkan tahniah atas kejayaan rundingan gencatan senjata,” kata Manet menerusi satu hantaran di Facebook lewat malam Isnin.

Beliau berkata Trump turut bersetuju agar Amerika Syarikat terlibat dalam pemantauan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata berkenaan dan bekerjasama dengan mekanisme pemantauan yang diwujudkan oleh Malaysia.

“Beliau (Trump) berpandangan bahawa agar perjanjian ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan mampan, perlu ada mekanisme pemantauan yang jelas oleh pihak-pihak berkaitan,” kata Manet.

Manet dan pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai bersetuju menghentikan semua permusuhan selepas insiden pertempuran bersenjata tercetus antara tentera kedua-dua negara sejak 24 Julai lalu.

Manet turut merakamkan penghargaan kepada Trump atas peranan beliau yang mempercepatkan rundingan gencatan senjata serta kesediaan Amerika Syarikat menjadi penganjur bersama mesyuarat khas itu di Malaysia, menurut hantaran media sosial itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan