KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Kerja menaik taraf sistem semboyan laluan Kelana Jaya secara berperingkat dijangka memberi kesan kepada lebih 27,000 pengguna tren, kata Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Strategi & Pembangunan) Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Dr Prodyut Dutt.
Beliau berkata kerja-kerja itu akan dilaksana dalam dua fasa dengan Fasa 2 bermula pada 9 Ogos hingga 14 Sept yang melibatkan 10 stesen dari KLCC hingga Gombak manakala Fasa 3 pada 11 Okt hingga 22 Nov pula membabitkan 17 stesen dari Lembah Subang hingga Ampang Park.
“Kami akan menaik taraf semua isyarat iaitu perisian dan perkakasan kerana kedua-duanya sudah usang. Kami juga akan melakukan penambahbaikan yang kritikal untuk keselamatan siber dan analisis data. Itu semua akan menjadi penambahbaikan yang akan dilaksanakan dalam projek ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Dutt berkata kerja-kerja menaik taraf diperlukan bagi memperbaharui sistem yang telah beroperasi selama 25 tahun bagi meningkatkan tahap keselamatan dan kebolehpercayaan sistem sekali gus meminimumkan risiko gangguan operasi selepas ini.
Beliau memaklumkan masa pengoperasian akan bermula sedikit lewat kepada pengguna iaitu pada 9 pagi berbanding 6 pagi bagi stesen terbabit untuk memastikan sistem semboyan baharu dapat diuji secara menyeluruh sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Nor Azmi Mohd Yusof pula memaklumkan susulan penaiktarafan tersebut, mesin penjualan tiket bagi membeli token perjalanan hanya akan dibuka pada 8.45 pagi bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna.
“Justeru, pengguna tidak perlu risau, bagi memastikan kelancaran perjalanan, bas dan van perantara percuma akan disediakan untuk menghubungkan stesen-stesen yang terlibat,” katanya ketika memberi taklimat pelan operasi Laluan Kelana Jaya pada majlis yang sama.
Beliau berkata sebanyak 13 bas perantara, lima bas ulang-alik dan lima van akan disediakan sepanjang pelaksanaan Fasa 2 manakala Fasa 3 memyaksikan penyediaan 60 bas dan lima van perantara bagi memudahkan pergerakan penumpang.
Dalam pada itu, kenyataan Prasarana hari ini memaklumkan kakitangan stesen, polis bantuan dan Prasarana Troopers (sukarelawan terlatih) akan ditempatkan di stesen terbabit serta integrasi bagi membantu pengguna sekiranya memerlukan bantuan.
Untuk maklumat lanjut mengenai jadual naik taraf, senarai stesen terlibat serta perkhidmatan alternatif yang disediakan, pengguna digalakkan untuk melayari laman sesawang rasmi www.myrapid.com.my atau di saluran media sosial Rapid KL.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial