PAPAR, 23 Julai (Bernama) -- Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalin kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM), untuk menyediakan perkhidmatan e-kesihatan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) terutama di lebih 700 pusat berkenaan di kawasan pedalaman seluruh negara.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata MCMC dan KKM telah meneliti beberapa perkhidmatan e-Kesihatan menerusi kerjasama tersebut termasuk telekesihatan dan teknologi penghantaran ubat ke klinik kesihatan menggunakan dron dari NADI yang akan dipilih berdasarkan kesesuaian lokasi.
“Kerjasama ini telah bermula di sini dan kita akan memperluas ke semua NADI di seluruh negara, kerana kita berhasrat menyediakan perkhidmatan telekesihatan bagi meringankan beban rakyat khususnya yang berada di kawasan pedalaman.
“Dengan adanya kemudahan Internet berkelajuan tinggi di NADI, perkhidmatan e-Kesihatan ini dapat dilaksanakan melalui rangkaian NADI dan klinik kesihatan. Ini memudahkan pesakit melakukan saringan kesihatan tanpa perlu hadir ke klinik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Hari Bersama Komuniti di NADI Kampung Langkuas Kinarut dekat sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Suriani Ahmad.
Fahmi berkata kerjasama menggunakan teknologi baharu iaitu penggunaan dron untuk menghantar ubat-ubatan ke klinik kesihatan di kawasan luar bandar masih pada peringkat perintis.
“Beberapa bulan lepas, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menyaksikan pelaksanaan penggunaan dron bagi tujuan penghantaran ubat-ubatan di sebuah NADI di Tawau.
“Selepas ini kita akan mengadakan perbincangan untuk mengenal pasti rangkaian antara klinik kesihatan dan NADI. Perjalanannya saya jangkakan berliku, kerana akan melibatkan perbincangan dengan beberapa agensi terutama dari segi penggunaan dron,” katanya.
Beliau berkata asas pelaksanaan inisiatif itu ialah kelajuan Internet, selain kerjasama erat antara Kementerian Komunikasi, MCMC dan KKM.
“Ada sebahagian NADI masih berada pada 100 Mbps dan sebahagian lain mencapai satu Gbps. Jadi kita inginkan talian lebih pantas. Kedua, perlu ada perbincangan untuk melaksanakan latihan antara KKM dan pengurus-pengurus NADI, bagi membolehkan perkhidmatan telekesihatan dilaksanakan dengan jayanya.
“Fokus kita sebagai permulaan ialah di kawasan luar bandar, kerana di situ banyak manfaatnya. Dari segi pemilihan NADI dan klinik-klinik kesihatan, akan ada perbincangan susulan dengan mengutamakan Sabah dan Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Dzulkefly berkata kerjasama berkenaan akan menjadikan perkhidmatan kesihatan di kawasan luar bandar lebih berkesan melalui telekesihatan di NADI yang akan dipilih kelak.
“Kerjasama ini akan mendekatkan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat. Kerjasama ini sangat bertepatan kerana pusat komuniti seperti NADI dapat memberi perkhidmatan lain, khususnya dari aspek kesihatan antaranya menangani penyakit berjangkit dan penyakit kronik di kawasan berkenaan.
“Pesakit tidak perlu datang ke klinik kesihatan untuk mendapat perkhidmatan kesihatan kerana mereka boleh mendapatkan khidmat berkenaan di NADI di kawasan masing-masing melalui telekesihatan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial