BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pengumuman PM Anwar Petunjuk Asas Ekonomi Malaysia Kukuh

23/07/2025 07:55 PM

KOTA KINABALU, 23 Julai (Bernama) -- Kerajaan Sabah melihat pengumuman pelbagai inisiatif oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi meringankan kos sara hidup rakyat sebagai petunjuk asas bahawa ekonomi negara kian kukuh di bawah Kerajaan MADANI.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata Sabah menyambut baik inisiatif itu kerana ia bertujuan meringankan beban ditanggung rakyat terbanyak.

“Ini menunjukkan bahawa Perdana Menteri benar-benar mengambil berat terhadap kepentingan rakyat,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bantuan RM100 secara sekali beri kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas bagi membeli barangan asas di 4,100 premis perniagaan serta peluasan Jualan Rahmah MADANI ke setiap kawasan Dewan Undangan Negeri merupakan berita baik untuk rakyat.

Beliau berkata penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter melalui inisiatif subsidi bersasar yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 18 juta rakyat Malaysia amat menepati aspirasi rakyat.

“Pengisytiharan hari sebelum Hari Malaysia (15 Sept) sebagai cuti umum adalah pengiktirafan Kerajaan Persekutuan terhadap kepentingan hari istimewa ini untuk seluruh negara,” katanya.

Di SARAWAK, Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri susulan pengumuman pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat itu.

“Harga RON95 turun, juga beberapa bantuan lain telah diberikan kepada rakyat. Saya ucap terima kasih.

“Ini bermakna rakyat Sarawak bukan sahaja dapat bantuan daripada Kuala Lumpur (Kerajaan Persekutuan) tetapi juga daripada kerajaan negeri. Ini akan meringankan beban rakyat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri satu acara di Bintulu hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan beberapa inisiatif utama sebagai tanda penghargaan Kerajaan MADANI kepada rakyat termasuk pemberian RM100 secara sekali beri di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), penangguhan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya dan subsidi harga RON95 yang lebih rendah pada RM1.99 seliter.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan