PAPAR, 23 Julai (Bernama) -- Kempen Internet Selamat anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Mary, Limbahau dekat sini hari ini berupaya meningkatkan kesedaran dan literasi digital masyarakat khususnya pelajar luar bandar.
Penganjuran kempen itu juga menjadi pendekatan strategik Kementerian Komunikasi menerusi MCMC untuk memberi penekanan kepada penggunaan internet selamat, beretika dan bertanggungjawab terutama dalam kalangan generasi muda, tidak hanya tertumpu kepada capaian internet.
Program yang dirasmikan oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil itu antara lain merangkumi sesi kesedaran keselamatan dalam talian, aktiviti interaktif serta latihan kepada guru bagi memperkukuh nilai dan jati diri pelajar ketika berhadapan dengan cabaran menerusi alam siber.
Pelajar Tingkatan Tiga SMK St Mary Limbahau Faradira Horatio berkata penganjuran kempen seumpama itu wajar diperluas sehingga ke luar bandar bagi memastikan golongan pelajar di kawasan berkenaan tidak tercicir daripada mendapat pendedahan berkaitan keselamatan siber.
“Kempen ini bagus kerana ia memberi kesedaran tentang keselamatan siber dalam kalangan pelajar dan cara menggunakan internet dengan baik serta tujuan media sosial digunakan kerana ada segelintir pelajar mengabaikan perkara ini,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menyertai kempen itu hari ini.
Faradira yang turut dilantik sebagai Ikon Kapten K-DAT Kempen Internet Selamat di sekolahnya berkata dia akan menjalankan peranan untuk meningkatkan kesedaran pelajar sekolah tentang buli siber agar mereka sentiasa cakna, sekali gus tidak terlibat dalam masalah itu.
Lee Yuh Hui pula berkata dia gembira dapat mengambil bahagian dalam kempen itu kerana banyak maklumat baharu diperoleh dalam setiap sesi antara lain mengenai jejak digital, bahaya internet sekiranya tidak digunakan secara berhemah.
“Saya rasa kempen ini perlu diteruskan kerana masih banyak pelajar tidak tahu tentang penggunaan teknologi digital dengan baik. Kempen ini dapat meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan internet,” kata pelajar tingkatan empat itu.
Pelajar Tingkatan Lima Steve Noel pula berpendapat kempen itu mampu menjadi platform memberi kefahaman kepada setiap peserta untuk membezakan maklumat diperoleh di internet sahih atau tidak.
Sementara itu, MCMC dalam kenyataan memaklumkan kempen itu turut mencerminkan pendekatan keseluruhan negara di bawah kerangka Malaysia MADANI yang menyaksikan agensi itu berganding bahu bersama pihak sekolah, guru, ibu bapa dan pihak berkuasa tempatan untuk menyampaikan mesej keselamatan digital secara berkesan.
MCMC dalam kenyataan itu turut menggesa rakyat di seluruh negara termasuk di kawasan kampung untuk menjadi sebahagian daripada gerakan ini.
“Internet bukan sekadar alat komunikasi tetapi medan untuk membentuk nilai, menyebar ilmu dan menyatukan rakyat. Mari kita pastikan ruang digital ini kekal selamat, beretika dan membina untuk generasi hari ini dan akan datang,” menurut kenyataan itu.
Pada program itu, Fahmi turut meluangkan masa beramah mesra bersama pelajar pada sesi interaktif sempena kempen berkenaan dengan menasihati mereka supaya sentiasa peka mengenai keselamatan siber.
Turut hadir pada program itu Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC Bukhari Yahya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial