BELANJAWAN 2025 > BERITA

PM Mahu Setiap Dasar Dilaksanakan Beri Manfaat, Tidak Bebankan Majoriti Rakyat - Fahmi

21/07/2025 11:53 AM

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan setiap dasar yang dilaksanakan kerajaan perlu memberikan manfaat kepada rakyat dan tidak membebankan golongan majoriti, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata perkara ini termasuk pelaksanaan dasar berkaitan penyasaran subsidi bahan api RON95, yang sebelum ini dibayangkan akan dilaksanakan pada separuh kedua tahun ini, namun kini masih dalam fasa penelitian.

Beliau berkata kerajaan perlu memastikan setiap dasar melalui mekanisme penyaluran yang teliti bagi mengelakkan kesan berantai atau knock-on effect kepada harga barangan dan perkhidmatan lain, sepertimana yang telah dipertimbangkan dalam pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ada menyatakan pandangan bahawa beliau tidak mahu pelaksanaan dasar-dasar yang akan mendatangkan kesan negatif kepada majoriti rakyat. Samalah juga dengan dasar-dasar yang belum dilaksana, tetapi telah dibayangkan ataupun disebut sebelum ini mengenai RON95.

“Perdana Menteri ada menyentuh hal ini dalam permukiman dengan Ahli-Ahli Parlimen sebelum ini dan beliau (Anwar) berhasrat untuk memastikan ia tidak mendatangkan kesan yang negatif kepada rakyat dan perkara itu sedang dihalusi,” katanya pada sidang media mingguan di bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Pada Mei lepas, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata rasionalisasi subsidi RON95 akan dilaksanakan pada separuh kedua 2025, dengan memastikan golongan yang akan menerima sokongan subsidi itu dikenal pasti secara tepat.

Berhubung Program Ukhuwah Kepimpinan Kerajaan MADANI yang diadakan bersempena dengan permukiman anggota pentadbiran dan Ahli Parlimen semalam, Fahmi berkata Perdana Menteri dan Jemaah Menteri berharap program seperti itu dapat dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi mengukuhkan komunikasi antara Ahli Parlimen dengan pentadbiran.

Beliau berkata program itu berjaya memperkukuh semangat silaturahim dalam kalangan wakil rakyat serta memberikan ruang kepada pentadbiran untuk menyampaikan maklumat persiapan menjelang persidangan Parlimen.

“Selain memupuk semangat silaturahim dan juga ukhuwah sesama Ahli Parlimen daripada pelbagai latar belakang, negeri dan parti, (permukiman ini juga membolehkan) isu-isu tentang persiapan sidang Parlimen dapat kita bincangkan termasuk rang undang-undang dan beberapa perkara menjurus ke arah pembentangan RMK-13 (Rancangan Malaysia Ke-13),” katanya.

Mengulas mengenai kemalangan jalan raya melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak pada 9 Jun lepas, Fahmi berkata Kementerian Pengangkutan akan memaklumkan perincian mekanisme penguatkuasaan yang lebih terancang, tersusun dan menyeluruh dalam masa terdekat.

Beliau berkata Kementerian Pengangkutan sedang meneliti bukan sahaja insiden itu secara khusus, tetapi juga secara umum melibatkan pemandu-pemandu bas bagi memastikan mereka memandu dengan selamat dan tidak berlaku sebarang keadaan yang tidak diingini.

Sementara itu, menyentuh mengenai penubuhan Majlis Kebudayaan Negara di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Fahmi berkata Perdana Menteri meminta semua kementerian berkaitan memberikan kerjasama dalam usaha memperkasakan kebudayaan dan ekonomi kreatif negara.

“Majlis ini turut menyentuh aspek ekonomi jingga (orange economy) yang melibatkan ekonomi kreatif … ada beberapa perkara di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi yang juga akan kami usahakan untuk bantu melaksanakan pandangan dan nasihat daripada Majlis Kebudayaan Negara,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan