BELANJAWAN 2025 > BERITA

Piala ASEAN B-23: Malaysia Pulang Awal, Misi Gagal Di Jakarta

22/07/2025 02:07 AM

JAKARTA, 21 Julai (Bernama) -- Harapan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara untuk mara ke separuh akhir Piala ASEAN B-23 musnah selepas sekadar seri 0-0 menentang Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno di sini, malam ini.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia menamatkan kempen peringkat kumpulan di tangga ketiga dengan empat mata, di belakang Indonesia selaku juara kumpulan (tujuh mata) dan Filipina (enam mata), manakala Brunei menghuni dasar kumpulan tanpa sebarang mata.

Malaysia membuka kempen dengan kekalahan 0-2 kepada Filipina sebelum bangkit membelasah Brunei 7-1, namun gagal menandingi Indonesia yang hanya memerlukan keputusan seri untuk mengesahkan slot ke separuh akhir.

Anak buah Nafuzi Zain turun dengan misi wajib menang besar tanpa bolos, namun gagal memanfaatkan peluang walaupun mempamerkan aksi lebih tersusun dari segi pertahanan dan penguasaan awal perlawanan.

Sebaliknya, skuad tuan rumah lebih banyak menguasai permainan dengan beberapa gerakan berbahaya, namun ketangkasan barisan pertahanan negara serta penjaga gol Zulhilmi Sharani memastikan gawang negara tidak dibolosi.

Separuh masa kedua menyaksikan rentak permainan lebih rancak apabila kedua-dua pasukan saling mengasak.

Pada minit ke-57, penyerang Indonesia, Jens Raven hampir memecah kebuntuan menerusi sepakan tumit menarik, namun diselamatkan cemerlang oleh Zulhilmi.

Seminit kemudian, Malaysia hampir mengejutkan lawan apabila rembatan leret Mohammad Haykal Danish Mohd Haizon dinafikan penjaga gol lawan.

Mengulas prestasi pasukannya, Nafuzi menyatakan rasa kecewa gagal mara, namun tetap memuji semangat juang pemain, khususnya benteng pertahanan dan aksi cemerlang Zulhilmi yang menjadi watak penting mengekang serangan tuan rumah.

“Saya sedikit kecewa kerana gagal layak ke separuh akhir, tetapi secara keseluruhan, saya bangga dengan peningkatan prestasi yang ditunjukkan pasukan sepanjang kejohanan ini,” katanya.

Malaysia kini akan memberi tumpuan kepada pusingan kelayakan Piala Asia B-23 yang dijadual berlangsung selepas ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan