BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Berpotensi Bangun Sistem Alamat Nasional Setanding Negara Maju - CTO Geoscape Australia

16/07/2025 08:42 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Malaysia berpotensi membangunkan Sistem Alamat Nasional (NAS) yang lebih cekap, setanding dengan sistem digunakan negara maju seperti Australia, kata Ketua Pegawai Teknikal Geoscape Australia, Joseph Abhayaratna.

Beliau berkata hal itu berikutan persamaan dari segi struktur pentadbiran kedua-dua negara dan cabaran teknikal dalam membangunkan sistem itu yang bertujuan dijadikan rujukan utama bagi pengurusan alamat di seluruh negara.

"Kedua-dua negara memiliki banyak negeri dan wilayah pentadbiran, masing-masing dengan pangkalan data dan senarai alamat tersendiri. Justeru, saya percaya kita berkongsi titik permulaan yang serupa.

“Dengan cabaran yang serupa kita hadapi dalam pengalamatan di kawasan bandar, saya percaya apa yang telah kami laksanakan di Australia juga boleh digunai pakai di Malaysia," katanya kepada pemberita pada Persidangan Alamat Nasional 2025 di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Industri Revolusi Keempat yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Jun,  secara dasarnya bersetuju dengan pelaksanaan NAS.

Fahmi berkata NAS juga telah dikenal pasti sebagai “needle mover” di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar 4IR negara untuk merealisasikan aspirasi kerajaan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi yang berteraskan pendigitalan serta peneraju serantau dalam ekonomi digital.

Abhayaratna berkata NAS Australia yang dibangunkan oleh Geoscape telah menyumbang lebih AU$1.4 bilion dalam nilai ekonomi, sekali gus menjadikannya satu daripada aset penting negara itu.

Beliau turut memuji usaha Malaysia menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam membangunkan NAS sebagai sistem alamat yang seragam dan sahih, serta diiktiraf kerajaan.

Abhayaratna turut menyatakan keyakinan inisiatif terbabit mampu memanfaatkan pelbagai pihak dengan membolehkan sistem data yang lebih cekap dan tersusun diwujudkan di negara ini.

Persidangan Alamat Nasional 2025 yang berlangsung hari ini dan esok menampilkan 15 sesi pembentangan daripada penceramah dalam dan luar negara.

Fahmi dijadualkan merasmikan persidangan itu esok. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan