KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) melalui anak syarikatnya Petronas LNG Sdn Bhd (PLSB) memeterai perjanjian induk (HoA) dengan SMJ Energy Sdn Bhd (SMJ Energy) untuk memformalkan terma penyertaan ekuiti SMJ Energy sebanyak 25 peratus dalam PFLNG 3 Sdn Bhd.
PFLNG 3 Sdn Bhd merupakan syarikat projek yang membangunkan kemudahan pengeluaran gas asli cecair (LNG) terapung berasaskan darat yang akan dibina di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) di Sipitang, Sabah.
“Pengambilalihan ekuiti yang dicadangkan akan dilaksanakan menerusi perjanjian muktamad yang bakal dimeterai selepas HoA,” kata Petronas dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Petronas, HoA tersebut menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh kerjasama jangka panjang syarikat dengan kerajaan negeri Sabah serta pembangunan sumber yang bertanggungjawab di negeri itu.
Perjanjian berkenaan ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif SMJ Energy, Datuk Dr Dionysia Aloysius Kibat dengan Ketua Pegawai Eksekutif PLSB, Shamsairi M Ibrahim.
Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial