KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Dana padanan berjumlah RM90 juta dalam bidang semikonduktor dilancarkan melalui Malaysia Sciene Endowment (MSE) bagi meletakkan negara sebagai hab global dalam bidang teknologi pembungkusan canggih yang kini hanya dikuasai segelintir negara seperti Taiwan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata dana padanan semikonduktor itu dijangka akan memodenkan Outsourced Semiconductor Assembly and Test (OSAT) ke arah pembungkusan canggih selaras dengan visi Strategi Semikonduktor Nasional.
“Inisiatif strategik ini juga akan memenuhi permintaan global yang semakin meningkat terhadap cip kecerdasan buatan (AI) dan meningkatkan eksport elektrik dan elektronik (E&E) negara.
“Ingin saya tegaskan bahawa ini bukan sekadar satu bentuk pelaburan kerajaan tetapi juga merupakan jemputan terbuka kepada industri tempatan untuk tampil ke hadapan, meneroka peluang penyelidikan baharu, berinovasi secara berani dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global bagi pembuatan semikonduktor generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis 30 Tahun Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Penganugerahan Felo 2024 dan 2025 di sini malam ini.
Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang dan Presiden ASM Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen.
Fadillah berkata pencapaian negara melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) 2025 baru-baru ini wajar dijadikan pemangkin untuk terus memperkukuh daya cipta teknologi tempatan serta memperluas kerjasama strategik antara sektor penyelidikan dan industri.
Malaysia ketika ini berada dalam fasa penting untuk memperkukuh daya saingnya menerusi peralihan kepada ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi untuk membawa negara ini kepada konsep ‘Dibuat Oleh Malaysia’ daripada ‘Dibuat Di Malaysia’, selari dengan penekanan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Bagi merealisasikan aspirasi ini, kerajaan menerusi Akademi Sains Malaysia mesti menyatukan kepakaran, menyelaras sumber dan memperkukuh jaringan kerjasama antara kerajaan, industri, akademia dan komuniti,” katanya.
Fadillah berkata sempena Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun ini, beliau menyeru para saintis dan penyelidik agar memperkukuh jaringan kerjasama serantau.
“Malaysia komited untuk memainkan peranan utama dalam memacu penyelidikan berpandukan misi di peringkat serantau bagi menangani cabaran bersama seperti perubahan iklim, keterjaminan makanan dan pembinaan rantaian bekalan serantau ASEAN.
“Saya difahamkan bahawa ASM telah menghasilkan Laporan foresight bertajuk ‘ASEAN Ahead: ASEAN STI Ecosystem Foresight 2035 and Beyond’ yang dijadual dilancarkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober akan datang...dokumen ini menjadi rujukan asas untuk penyediaan ‘ASEAN Plan of Action for Science, Technology and Innovation (APASTI 2026-2035),” katanya.
Sementara itu, Chang berkata keistimewaan ASM terserlah melalui keupayaannya menyediakan kajian berasaskan bukti serta melaksanakan sesi libat urus strategik merentas sektor dan kementerian untuk mendepani cabaran semasa yang semakin kompleks.
“Pendekatan ini menjadi pemacu penting kepada keputusan yang lebih berwibawa, berpandangan jauh serta berdaya tahan di peringkat negeri mahu pun persekutuan.
“Beberapa pelan hala tuju strategik MOSTI turut menerima sumbangan dan input besar daripada ASM termasuklah Pelan Hala Tuju Penyelidikan, pembangunan, inovasi, pengkomersilan dan ekonomi Negara (RDICE), Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen, Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara serta Dasar Teknologi Nuklear Negara,” katanya.
Pada majlis itu, Fadillah turut menyampaikan penganugerahan Felo ASM kepada tiga individu sebagai Felo Kanan dan 63 Felo baharu ASM bagi tahun 2024 dan 2025, kesemua mereka terdiri daripada saintis, jurutera dan pakar teknologi terkemuka negara.
Setakat ini, ASM mempunyai 535 Felo, terdiri daripada 30 Felo Kanan dan 505 Felo Biasa.
Kedua-dua pengkitirafan “Academician” dan “FASc” merupakan pengiktirafan sains tertinggi negara melalui Akta Akademi Sains Malaysia 1994.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial