KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Juwai IQI mengunjurkan Malaysia akan menerima aliran masuk pelaburan China berjumlah sekurang-kurangnya RM30 bilion tahun ini yang menumpu terutamanya kepada sektor komponen bateri dan solar.
Pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata pada 2024 Malaysia menerima kemasukan modal berjumlah RM31 bilion dari China, yang merupakan jumlah (modal) kedua terbesar dari negara itu setakat ini.
“Jumlah pelaburan pada 2024 adalah lebih dua kali ganda berbanding 2023 dan paling banyak sejak 2015. Kami menjangkakan (kemasukan) sekurang-kurangnya RM30 bilion pelaburan dari China tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata ekonomi Malaysia sedang mengalami gelombang aliran masuk asing, dan China serta Hong Kong terus menjadi penyumbang terbesar.
"Malaysia membuktikan sekali lagi bahawa ia adalah ekonomi utama Asia. Kita mendapat manfaat besar menjadi sebahagian daripada ASEAN dan mempunyai ekonomi besar seperti China di rantau kita," katanya.
Kashif berkata Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura juga mencapai kejayaan besar dengan Johor menjadi destinasi untuk projek perindustrian dan logistik berskala besar.
"SEZ adalah kawasan yang menarik minat pelanggan korporat kita di China, terutamanya pengeluar," katanya.
Dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia yang menyasarkan pembuatan bernilai tinggi dan pertumbuhan hijau, minat pelabur dijangka berterusan pada 2025, terutamanya dalam tenaga boleh baharu dan elektronik canggih.
"Kerajaan menawarkan pelepasan cukai menarik, pelesenan pantas dan pelan tindakan sektor. Itulah sebabnya kami menjangkakan satu lagi tahun pelaburan besar dari China berjumlah sekurang-kurangnya RM30 bilion," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial