BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pelabur Asing Kekal Pembeli Bersih Utama Bagi Separuh Pertama, Sumbang RM21.4 Bilion

18/07/2025 08:33 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Kalangan pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih utama dalam tempoh separuh pertama 2025, menyumbang aliran masuk terkumpul sebanyak RM21.4 bilion setakat Jun 2025.

Bagaimanapun, pegangan asing bon Malaysia susut kepada RM5.4 bilion pada Jun berbanding dengan aliran masuk kukuh RM13.4 bilion pada Mei, di tengah-tengah kelemahan sentimen susulan ketidaktentuan tarif Amerika Syarikat.

“Ini dipacu terutamanya oleh penjualan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) jangka panjang selain Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB)  yang masing-masing berjumlah RM5.3 bilion dan RM1 bilion.

“Bon korporat terus menarik pelaburan langsung asing dengan aliran masuk bersih sebanyak RM903.4 juta (Mei: RM550 juta),” katanya dalam kenyataan.

Agensi penarafan itu berkata, ini bagaimanapun hanya bulan kedua dalam 2025 bagi melihat keseluruhan aliran keluar asing berbanding RM1.1 bilion pada Februari 2025.

Minat pelabur asing juga dijangka kekal suram pada Julai yang juga menghampiri tarikh akhir pelaksanaan tarif timbal balas AS yang lebih tinggi pada 1 Ogos selain ketidaktentuan mengenai sama ada Malaysia dapat mencapai sebarang persetujuan sebelum tarikh berkenaan.

Peningkatan jangkaan kelonggaran dasar monetari AS yang lebih lama berikutan angka inflasi yang mengatasi andaian ramai pada Julai, juga hanya menjejaskan tarikan aset pasaran sedang pesat membangun.

Pada masa ini, pasaran menjangkakan pihak Rizab Persekutuan AS mengekalkan dasar kadar faedahnya pada 4.25-4.5 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan bagi Julai,” katanya.

Selain itu, RAM Ratings berkata harapan melihat penurunan kadar faedah Fed yang kian samar juga hanya mengukuhkan lagi dolar AS.

Setakat 17 Julai, ringgit susut secara sederhana kepada 4.25 berbanding dolar AS (akhir Jun : 4.21).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan