BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Boleh Gerakkan ASEAN, Dunia Sokong Palestin - Duta Palestin

15/07/2025 08:42 PM

Oleh Suraidah Roslan

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam mendorong dan mempengaruhi negara-negara anggota ASEAN serta negara lain untuk memberikan sokongan penuh kepada Palestin, kata Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali.

Walid berkata, sejak Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN, sokongan teguhnya terhadap perjuangan Palestin jelas dan konsisten.

“Tiada siapa boleh mempersoalkan sokongan Malaysia terhadap Palestin,” katanya dalam program Bernama TV ‘Peranan ASEAN dalam Perjuangan Palestin’ di sini hari ini.

Menurutnya, Malaysia boleh memainkan peranan dalam kalangan ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), yang mana Malaysia boleh menggalakkan dan mempengaruhi negara-negara yang masih ragu-ragu dalam sokongan mereka terhadap Palestin agar memberikan lebih banyak bantuan.

“Pada peringkat serantau, Malaysia boleh memainkan peranan kuat dalam menggesa negara-negara, menggunakan pengaruhnya melalui hubungan antarabangsa untuk memberikan lebih banyak bantuan dan mendapatkan sokongan lebih besar untuk Palestin dan rakyat Palestin,” katanya.

Beliau berkata ASEAN juga boleh memainkan peranan melalui pengaruh dan kepentingannya di Timur Tengah.

Memandangkan ASEAN mengejar pembangunan ekonomi, minatnya terhadap Timur Tengah sangat penting, kata duta itu.

“Apabila ASEAN memutuskan untuk mengadakan sidang kemuncak dengan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), saya fikir ASEAN boleh memainkan peranan untuk mendapatkan penyelesaian menyeluruh di Timur Tengah.

Dan ini akan menggalakkan negara ASEAN untuk melabur lebih banyak di Timur Tengah, di Palestin.

“Mereka boleh mendapat manfaat daripada keupayaan rakyat Palestin. Walaupun di bawah pendudukan, kami telah menyumbang dengan signifikan. Sebagai rakyat Palestin, kami merupakan antara yang berpendidikan paling tinggi di Timur Tengah dan dunia Arab,” katanya.

Walid berkata, Persidangan Keempat Kerjasama Negara-Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) baru-baru ini, yang melibatkan Jepun dan ASEAN, bekerjasama mewujudkan platform untuk membantu Palestin dalam pembangunan, pembinaan semula, serta meningkatkan bantuan teknikal dan kemanusiaan.

 Beliau berkata kepentingan utama melalui CEAPAD ialah gencatan senjata segera tanpa syarat. Malangnya, komuniti antarabangsa gagal mencapai gencatan senjata untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza sejak lebih 460 hari lepas.

Keutamaan kedua ialah mewujudkan koridor kemanusiaan untuk membekalkan keperluan asas 2.3 juta rakyat Palestin di Gaza, termasuk makanan, air, penjagaan kesihatan, dan tempat tinggal. Hampir 85 peratus infrastruktur di Gaza telah musnah sepenuhnya atau sebahagiannya oleh rejim Israel, kata duta itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan