BELANJAWAN 2025 > BERITA

Polis Thai Tahan Wanita Disyaki Terlibat Dalam Kes Pemerasan Sami

16/07/2025 12:49 AM

Oleh Wilawan Watcharasakwet

BANGKOK, 15 Julai (Bernama) -- Polis Thailand menahan seorang wanita yang menjadi tumpuan kes  skandal seks dan pemerasan melibatkan beberapa sami Buddha kanan, termasuk dakwaan menyalahgunakan harta dan terlibat dalam konspirasi pengubahan wang haram.

Timbalan Pesuruhjaya Biro Siasatan Pusat (CIB), Mejar Jeneral Polis Jaroonkiet Pankaew berkata siasatan bermula selepas kes pada 18 Jun melibatkan seorang sami kanan dan bekas Ketua Biara Wat Tri Thotsathep di Bangkok yang didakwa diperas ugut.

Menurut Jaroonkiet, suspek wanita berusia 35 tahun itu ditahan di kediamannya di kawasan perumahan mewah di Nonthaburi selepas polis menemui bukti pemindahan 380,000 Baht ke akaun peribadinya oleh seorang sami kanan daripada akaun bank sebuah kuil di Ayutthaya.

"Wanita ini dianggap individu berbahaya yang perlu ditahan tanpa berlengah. Bukti itu terus membawa kepada penangkapannya hari ini," katanya dalam sidang media pada Selasa.

Beliau menambah siasatan awal mendapati wanita itu mempunyai hubungan peribadi dengan sami terbabit yang bermula pada Mei 2024.

Jaroonkiet berkata siasatan kewangan juga mendedahkan kaitan dengan beberapa kuil, serta rakaman video dan bahan lain yang menunjukkan perbuatan pemerasan.

Beliau menegaskan pihak berkuasa tidak berniat mencemar reputasi institusi Buddha, tetapi operasi perlu bagi membendung salah laku dan mengekalkan kesucian agama.

“Kami akan bertindak tegas dan tidak memihak terhadap semua individu yang terlibat,” katanya. 

Beliau turut mendedahkan sembilan daripada 13 sami yang terlibat dalam skandal itu telah meninggalkan kesamian. Siasatan masih berjalan dengan lebih ramai individu dijangka akan dinamakan.

Skandal itu tersebar umum lewat bulan lepas setelah Ketua Biara Wat Tri Thotsathep hilang secara tiba-tiba dan kemudian disahkan telah keluar daripada kesamian.

Polis percaya kehilangannya berpunca daripada cubaan pemerasan terhadapnya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan