Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 15 Julai (Bernama) -- Ketua Jurulatih skuad B-23 negara, Nafuzi Zain mengakui kelemahan pertahanan menjadi punca utama kekalahan 0-2 kepada Filipina dalam aksi pembukaan Kumpulan A Kejuaraan AFF B-23 2025 di Stadium Gelora Bung Karno di sini, malam ini.
Walaupun kecewa dengan keputusan, Nafuzi tetap memuji semangat juang tinggi anak buahnya yang kebanyakannya masih muda dan kurang pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa.
“Secara keseluruhan, pertahanan kita ada sedikit kelekaan dan gugup di awal permainan, dan itu memberi ruang kepada Filipina menjaringkan gol.
“Kami cuba bangkit dan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan keputusan seri, tetapi apabila ketinggalan ia menjadi lebih sukar,” katanya selepas perlawanan.
Beliau berkata kebanyakan pemain berusia sekitar 19 hingga 21 tahun dan perlawanan itu merupakan peluang terbaik untuk mereka menimba pengalaman dan kematangan.
Mengenai status kecederaan dua tonggak, Alif Izzuan dan Muhammad Haqimi Azim Rosli, Nafuzi berkata pihaknya sedang menunggu laporan terperinci daripada pasukan perubatan.
Selain itu, beliau juga berharap penyokong dari Malaysia dapat hadir memberi sokongan sekiranya pasukan mara ke pusingan seterusnya, terutama jika bertemu tuan rumah, Indonesia.
“Sokongan peminat penting. Walaupun mereka tiada di sini, saya tahu pasukan tetap mendapat sokongan daripada Malaysia.
“Saya mohon maaf kerana tidak dapat menghadiahkan kemenangan, namun kami akan memperbaiki persiapan untuk menentang Brunei pada Jumaat dan Indonesia nanti, yang pastinya sukar,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial