BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Sedia Terajui Pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN Tahun Depan

15/07/2025 08:25 PM

KUCHING, 15 Julai (Bernama) -- Malaysia bersedia memainkan peranan penting dalam pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN (APG) mulai tahun depan, selaras dengan kedudukan strategik yang membolehkannya menjadi pemacu utama inisiatif serantau bagi mengintegrasikan rangkaian penghantaran elektrik di seluruh Asia Tenggara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata keputusan penting berhubung hala tuju pelaksanaan APG dijangka dimuktamadkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) di Kuala  Lumpur pada Oktober susulan kemajuan memberangsangkan yang dicapai menerusi Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Tenaga ASEAN (SOME) baru-baru ini.

"Hala tuju pelaksanaannya telah dibentang dan secara prinsip telah dipersetujui. Jika semua berjalan lancar, pelaksanaannya boleh dimulakan seawal tahun depan tertakluk kepada pengesahan oleh pemimpin-pemimpin ASEAN,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Minggu Tenaga Antarabangsa (IEW) 2025 di sini hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata Malaysia kini berada di hadapan dari segi ketersediaan infrastruktur dan sambungan rentas sempadan, sekali gus meletakkan negara pada kedudukan kukuh untuk menyokong pelaksanaan grid tenaga serantau itu.

“Sistem grid kita perlu dinaik taraf dan disambungkan antara negara. Di Semenanjung, kita sudah pun mempunyai sambungan dengan Thailand, Laos dan Singapura.

“Di Sarawak, kita sudah pun disambungkan dengan Kalimantan Barat dan mereka perlu menaik taraf keseluruhan sistem grid agar dapat disambungkan dengan Sabah… dan seterusnya mewujudkan rangkaian grid serantau di Borneo yang berpotensi dihubungkan ke selatan Filipina.

“Kita sudah bersambung dengan Thailand dan Singapura, ini memberikan kelebihan besar kepada kita...Yang diperlukan sekarang ialah penjajaran dari segi peraturan dalam kalangan negara anggota,” katanya.

APG yang diperkenalkan pada 1997 merupakan inisisatif serantau untuk menghubungkan infrastruktur tenaga elektrik antara 10 negara anggota ASEAN, dengan matlamat mencapai operasi grid bersepadu sepenuhnya menjelang 2045.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan