PUTRAJAYA, 11 Julai (Bernama) -- Kerajaan bersetuju memberi pengecualian terhadap pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam seminggu kepada lima skim perkhidmatan kritikal di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), dengan menetapkan waktu bekerja hanya 42 jam seminggu.
Pengecualian itu melibatkan seramai 82,637 petugas barisan hadapan, merangkumi jururawat, jururawat masyarakat, pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan, penolong pegawai perubatan serta pembantu perawatan kesihatan.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan hari ini berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira kebimbangan yang dibangkitkan oleh petugas kesihatan terhadap pelaksanaan waktu bekerja 45 jam seminggu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
“Kerajaan meneliti secara mendalam keperluan operasi serta hakikat tugas kritikal yang dipikul oleh petugas kesihatan yang terlibat secara langsung menyelamatkan nyawa pesakit dari katil ke katil tanpa mengira masa.
“Tanggungjawab sebegini menuntut tahap kesiapsiagaan fizikal, mental dan emosi yang amat tinggi,” menurut kenyataan itu.
Menurut JPA, langkah berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI yang sentiasa mendengar suara rakyat dan menjaga kebajikan petugas kesihatan yang menjadi tunjang utama sistem kesihatan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial