KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) mengulangi komitmennya untuk memastikan doktor dan petugas kesihatan terus berkhidmat dalam Malaysia meskipun tidak mempunyai kuasa perundangan bagi menghalang mereka daripada menerima tawaran kerja di luar negara.
Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kementerian sedang melaksanakan pelbagai langkah untuk memastikan petugas kesihatan kekal berkhidmat dalam sistem kesihatan awam negara termasuk mempercepat proses lantikan jawatan tetap bagi doktor kontrak.
“Kita memang tidak ada halangan (terhadap) perekrutan rentas sempadan dan sebagainya, tambahan lagi ia adalah hak individu... ini juga sejajar dengan Perjanjian Pengiktirafan Bersama (MRA) dan Perjanjian Rangka Kerja ASEAN mengenai Perkhidmatan (AFAS).
“Di bawah perjanjian ini, pengambilan tenaga kerja antara negara ASEAN adalah dibenarkan dan telah dipersetujui bersama namun pastinya kita mahukan doktor kita, pakar kita malah jururawat kita yang memiliki latihan asas lanjutan untuk kekal bersama kita,” katanya kepada pemberita pada Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Kebangsaan sempena Hari Denggi ASEAN 2025 di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan tular di media sosial yang mendakwa hospital di Singapura kini giat menarik petugas kesihatan awam Malaysia terutama doktor untuk berkhidmat di republik itu dengan tawaran gaji lumayan.
Difahamkan sesi temu duga secara langsung dengan doktor dan pengamal perubatan am akan diadakan di sebuah hotel di sini bulan depan.
Dzulkefly juga berkata KKM kini dalam proses mempercepat peralihan lantikan jawatan doktor secara kontrak kepada tetap mengambil kira keperluan kritikal pengamal perubatan di negara ini.
“Kita tidak akan lengahkan, percepatkan proses serapkan petugas kontrak kepada jawatan tetap. Sejurus kita ada kekosongan, kita akan lakukan,” katanya.
Beliau berkata sistem doktor kontrak diwujudkan sebelum ini bagi menangani lonjakan graduan perubatan yang menamatkan pengajian dan kekurangan jawatan tetap dalam tempoh sedekad yang lepas.
“Situasi ini tidak berlaku lagi sekarang kerana jumlah (graduan dalam bidang perubatan) telah menurun secara drastik dan sepatutnya terdapat tempat yang mencukupi bagi pengambilan doktor baharu bagi jawatan tetap,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial