BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pengecualian Waktu Kerja Syif Pengiktirafan Kepada Petugas Kesihatan – Dzulkefly

12/07/2025 10:18 AM

PUTRAJAYA, 12 Julai (Bernama) -- Pengecualian waktu kerja syif bagi lima skim perkhidmatan kritikal di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) merupakan pengiktirafan terhadap dedikasi dan semangat petugas kesihatan dalam membantu pesakit.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman pengecualian waktu bekerja syif kepada 82,637 petugas kesihatan.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata keputusan itu merupakan bukti komitmen Kerajaan MADANI dalam memahami serta menghargai pengorbanan petugas kesihatan dari aspek fizikal, mental dan emosi.

“KKM menyambut baik keputusan mengekalkan waktu kerja semasa iaitu 42 jam seminggu bagi lima skim perkhidmatan kritikal di bawah kementerian ini.

“Ia satu bentuk pengiktirafan terhadap dedikasi dan semangat petugas kesihatan yang membantu pesakit yang bertarung nyawa setiap hari dan masa,” katanya.

Dzulkefly berkata keputusan itu adalah hasil kolaborasi menyeluruh pelbagai pihak, khususnya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kesatuan dan persatuan berkaitan, Bahagian Kejururawatan serta Bahagian Sumber Manusia KKM.

“Ini membuktikan semangat berpasukan dan pendekatan whole-of-nation mampu menghasilkan penyelesaian terbaik untuk rakyat. KKM akan terus berusaha membawa lebih banyak perubahan positif.

“Dengan izin Allah SWT, semoga lebih banyak berita baik dapat diumumkan untuk KKM, selari dengan strategi reformasi kesihatan yang dirancang,” katanya.

Semalam, kerajaan bersetuju memberi pengecualian terhadap pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam seminggu kepada lima skim perkhidmatan kritikal KKM, dengan mengekalkan waktu bekerja kepada 42 jam seminggu.

Pengecualian itu melibatkan 82,637 petugas barisan hadapan merangkumi jururawat, jururawat masyarakat, pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan, penolong pegawai perubatan serta pembantu perawatan kesihatan.

JPA sebelum ini memaklumkan keputusan itu dibuat setelah mengambil kira kebimbangan yang dibangkitkan oleh petugas kesihatan terhadap pelaksanaan waktu bekerja 45 jam seminggu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan