BELANJAWAN 2025 > BERITA

PMR Terengganu: Peserta Cilik Teruja Berpeluang Terbangkan Dron

11/07/2025 07:30 PM

KUALA TERENGGANU, 11 Julai (Bernama) -- Walaupun tidak mempunyai pengalaman menerbangkan dron, minat yang mendalam terhadap teknologi itu mendorong seorang murid sekolah rendah di sini menyahut cabaran menyertai pertandingan Dron JuniorSkills sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Terengganu.

Ammar Rayyan Nur Fahrurozi, 12, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1 berkata dia teruja dengan peluang diberikan penganjur yang membolehkannya merasai sendiri pengalaman menerbangkan dron.

Bercita-cita menjadi juruterbang dron profesional, Ammar Rayyan berkata kebiasaannya dia hanya terlibat dalam kuiz berkaitan peralatan canggih itu di sekolah tetapi kali ini dapat mengendalikan sendiri dron.

“Saya teringin untuk belajar merakam video menggunakan dron. Sebelum ini pernah tengok orang ambil video masa bercuti menggunakan dron dan hasilnya cukup cantik.

“Nampak sinematik tetapi agak mencabar sebab kelajuan dron susah hendak dikawal dan apabila dron berpusing, kita kena pandai seimbangkan. Jika selalu berlatih, boleh jadi mahir,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di PMR Terengganu di Pasar Payang di sini hari ini.

Seorang lagi perserta Wan Azza Nathifa Wan Nor Azam,11, pula berkata pertandingan itu merupakan satu peluang keemasan walaupun berdebar sebaik diberikan tugasan.

“Penyelia pertandingan memberitahu ada beberapa halangan yang saya perlu lepasi dalam masa dua minit. Mulanya nampak seperti mustahil tetapi apabila sudah cuba, seronok pula,” katanya. 

Murid SK Padang Hiliran di sini itu berkata minatnya terhadap teknologi itu sudah bermula sejak tahun lepas apabila bapanya membeli sebuah dron.

“Saya memang suka benda canggih. Di sekolah saya sudah biasa mengikuti program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), mungkin itu yang mencetus minat mendalam terhadap dron,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Teknologi Automotif dan Dron Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) Zuraidy Shamsudin berkata pertandingan itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai teknologi dron sebelum meneroka teknologi lanjutan.

“Di Malaysia, kita menjangkakan teknologi dron akan digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor seperti kejuruteraan mekanikal, eletrik, minyak dan gas di samping untuk tujuan pengukuran dan pemetaan, serta penyelenggaraan bangunan.

“Ini bermakna dron akan menjadi peningkatan nilai kepada kemahiran dalam kerjaya, sebab itu kita perlu memperkenalkannya seawal mungkin kepada pelajar sekolah rendah dan menengah,” katanya.

Beliau berkata dianjurkan dengan kerjasama Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), pertandingan itu menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM300 kepada pemenang setiap kategori iaitu pelajar sekolah rendah, sekolah menengah dan orang awam.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan