Oleh Lucia Terey Anak Johan
KUALA TERENGGANU, 11 Julai (Bernama) -- “Mahu cuba, adik? Ini kuih pinjaram, sejenis kuih tradisional dari Sabah,” kata Nur Ardinie Rania Hishammuddin, sukarelawan di reruai Kementerian Perpaduan Negara (KPN) setiap kali mendekati pengunjung Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Terengganu.
Sambil mengenakan buasana tradisi masyarakat Dusun, Nur Ardinie Rania bersama tiga lagi rakannya, bergilir-gilir mendekati orang ramai dan mengajak mereka mencuba aneka kuih sambil menerangkan asal usul dan bahan asas dalam pembuatan kuih itu.
“Biasanya kami akan panggil mereka datang, beri sedikit penerangan tentang kuih itu supaya mereka lebih faham dan tahu latar belakang kuih tradisional yang mungkin belum pernah mereka lihat sebelum ini.
“Contohnya, kuih pinjaram ini ia diperbuat daripada tepung beras, tepung jagung, santan dan minyak,” katanya ketika ditemui Bernama di rerurai KPN di sini hari ini.
Tinjauan Bernama mendapati antara kuih yang diperkenalkan kepada pengunjung ialah pinjaram, amplang, kek lapis Sarawak, selain kuih tradisi lain seperti putu mayam, kole kacang, kuih taming sari, cara gula, lok lik, kuih bulan, kuih kacang, pau, jala emas, akok dan kuih bakar.
Penyelaras reruai KPN P. Venukanna berkata pendekatan memperkenalkan makanan etnik dari Sabah, Sarawak, dan India ini diambil kerana kebanyakan masyarakat di Terengganu kurang terdedah kepada warisan kulinari dari luar Semenanjung.
Beliau berkata makanan kaum Melayu dan Cina lebih mudah didapati di negeri ini, manakala makanan kaum lain agak jarang diperkenalkan dalam acara berskala besar.
“Jadi kami bawa makanan ini secara terus kepada rakyat. Semuanya halal dan sesuai untuk dicuba oleh semua. Bila orang ramai mencuba, ia bukan sahaja membina pemahaman, tetapi juga membuka ruang untuk masyarakat tempatan mula mengambil tahu budaya kaum lain,” katanya.
Malah, beliau berharap usaha ini akan mendorong lebih banyak orang mencuba resipi makanan etnik lain di rumah atau dalam majlis kenduri dan keraian.
Sementara itu, pengunjung Asmah Yusof, 53, dari Kampung Losong Datuk Amar berkata ini kali pertama dia mencuba kuih pinjaram dan ternyata kagum dengan rasanya.
“Rasa dia macam kuih topi yang kita buat guna tepung pulut, gula pasir dan telur tapi lebih kenyal dan lemak. Menarik juga sebab saya tak pernah tahu orang Sabah ada kuih yang hampir sama dengan kita,” katanya.
Bagi pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan Hannah Mohd Nor, 24, pula kek lapis Sarawak yang diperkenalkan di reruai itu mengubat kerinduannya terhadap juadah negeri itu.
“Saya pernah duduk di Sarawak tujuh tahun kerana mengikut ibu dan ayah bekerja di sana tetapi sekembalinya kami di sini (Terengganu), susah untuk kami jumpa kedai yang menjual makanan Sarawak. Ada bagusnya ia diperkenalkan di sini, mana tahu ada kedai khusus menjual makanan itu di sini nanti,” katanya.
Di reruai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pula, pendekatan sama dilaksanakan dengan pengunjung diberi peluang mencuba kuih vadai, sejenis makanan masyarakat India yang jarang didapati di Terengganu.
Turut disediakan hidangan ubi kayu yang dimakan bersama sambal dan kelapa parut yang semakin dilupakan oleh generasi muda hari ini.
Timbalan Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara Ruzairy Arbi berkata kedua-dua makanan itu antara 213 juadah yang telah diwartakan sebagai makanan warisan negara, namun masih belum dikenali secara meluas dalam kalangan masyarakat.
“Kita sengaja pilih menu dari luar Terengganu supaya pengunjung dapat merasa makanan warisan kaum dan negeri lain kerana di sini, sinonim dengan menu nasi dagang, keropok lekor dan ikan goreng tepung saja,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial