BELANJAWAN 2025 > BERITA

Jadikan Adab, Panduan Syarak Sebagai Asas Penganjuran Program Agama - Mohd Na'im

12/07/2025 01:22 AM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Penganjuran setiap majlis agama dan kerohanian umat Islam, khususnya program selawat dan dakwah, perlu sentiasa berteraskan adab serta panduan syarak sebagai asas utama pelaksanaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata penganjuran program seumpama itu perlu selaras dengan maqasid syariah, memelihara kesucian majlis serta tidak mengundang kekeliruan atau polemik yang merugikan.

Beliau berkata dalam usaha menyantuni umat dan mengangkat syiar Islam, pendekatan yang berhikmah serta berpandukan garis panduan syarak amat penting.

“Sebagai contoh, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui TV AlHijrah telah menganjurkan program 'Hijrah Berselawat' di Beserah, Kuantan, yang menampilkan susunan majlis selawat tertib, menyentuh hati dan penuh penghayatan.

“Ia turut diiringi dengan tausiyah dan doa yang menyemai roh kecintaan kepada Rasulullah SAW dalam suasana penuh adab dan ketenangan.

“Inilah bentuk penganjuran majlis selawat yang wajar dijadikan rujukan dan teladan. Marilah kita mengambil hikmah daripada penganjuran ini untuk memperbaiki diri serta memperkukuh budaya dakwah yang berpaksikan ilmu, akhlak dan kasih sayang,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan tularnya rakaman sebuah majlis selawat di Kedah baru-baru ini yang diselitkan dengan unsur muzik popular, yang dianggap kurang sesuai untuk program seumpama itu.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata isu berkenaan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat, khususnya umat Islam yang amat menyanjung tinggi kesucian majlis selawat sebagai manifestasi cinta kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

“Dalam hal ini, saya menyambut baik dan menghargai tindakan Ustaz Firdaus Firabib (pendakwah terlibat dalam program tersebut) yang tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dengan penuh keinsafan dan rasa tanggungjawab.

“Sikap ini mencerminkan jiwa terbuka, rendah hati serta berpegang kepada prinsip taubat dan islah yang dituntut oleh Islam,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Na’im turut memuji tindakan berani dan bertanggungjawab Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang memohon maaf secara terbuka berhubung kekhilafan kenyataannya baru-baru ini.

Beliau berkata meskipun kenyataan itu dibuat secara santai, keprihatinan Ahmad Zahid terhadap sensitiviti umat Islam serta kesediaan beliau untuk memohon maaf mencerminkan contoh kepimpinan berhemah dan berjiwa besar.

Selasa lepas, Ahmad Zahid tampil membuat permohonan maaf terbuka atas keterlanjuran kata-katanya selepas mengaitkan malaikat dalam konteks tekanan yang dihadapinya sewaktu memegang amanah sebagai Presiden UMNO ketika merasmikan mesyuarat UMNO di Johor.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan