BELANJAWAN 2025 > BERITA

China, Kanada Perkukuh Kerjasama Dengan Bangladesh Dalam Pelaburan, Perdagangan

11/07/2025 05:40 PM

Oleh Ahmad Aidil Syukri Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- China dan Kanada telah menyatakan minat untuk memperkukuh kerjasama dengan Bangladesh dalam bidang perdagangan, pelaburan dan bantuan kemanusiaan, khususnya dalam menyokong populasi pelarian Rohingya.

Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan perkara itu telah disampaikan Menteri Luar China Wang Yi dan rakan sejawatannya dari Kanada Anita Anand, dalam mesyuarat dua hala berasingan dengan Penasihat Luar Bangladesh Md Touhid Hossain, di sela-sela Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat berkaitan, di sini.

Menurut kenyataan itu semasa pertemuan dengan China, Hossain telah menyatakan penghargaan mendalam terhadap sokongan politik dan pembangunan yang diberikan China, serta mengulangi seruan Bangladesh untuk penyelesaian segera dan mendesak terhadap krisis Rohingya, sambil memohon sokongan China dalam perkara itu.

“Beliau turut menggesa China untuk menyokong Bangladesh di platform serantau dan pelbagai hala termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” menurut kenyataan itu dan menyatakan bahawa Hossain mengetuai delegasi Bangladesh ke Mesyuarat Menteri Forum Serantau ASEAN ke-32 yang diadakan bersempena dengan AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan.

Menurut kenyataan itu Wang mengesahkan semula sokongan penuh Beijing terhadap inisiatif pembaharuan di bawah kerajaan Bangladesh, yang dipimpin oleh Ketua Penasihat Prof Muhammad Yunus dengan potensi kerjasama termasuk pelancongan perubatan dan pengurusan air.

“Mengimbau semula Persidangan Pelaburan China yang diadakan baru-baru ini di Bangladesh, beliau (Wang) menyatakan minat China untuk bekerjasama dengan Bangladesh dalam bidang tekstil, tenaga, kejuruteraan ringan dan lain-lain,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan yang sama, Suruhanjaya Tinggi itu memaklumkan dalam pertemuan dengan Anand, kedua-dua pihak membincangkan cara untuk memperluas hubungan dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan, termasuk melalui kepelbagaian perdagangan dan pembinaan daya tahan.

“Menteri Luar Kanada itu turut menyatakan sokongan Kanada dalam menangani krisis Rohingya yang telah berlarutan sekian lama,” tambah kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan