BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kejayaan Tunku Abdul Rahman, Tunku Abu Bakar Membanggakan Johor Dan Negara - Anwar

13/07/2025 06:35 PM

KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Kejayaan Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar pada GT World Challenge Asia di Jepun membanggakan rakyat Johor serta Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kejayaan di Litar Fuji Speedway itu juga memperlihatkan daya saing serta semangat juang tinggi anak muda negara di pentas perlumbaan antarabangsa.

"Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim atas kejayaan cemerlang merangkul tempat pertama dalam perlumbaan kedua GT World Challenge Asia hari ini.

"Ucapan tahniah turut dizahirkan kepada Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim yang berjaya menamatkan perlumbaan pertama semalam di kedudukan ketiga," kata Perdana Menteri menerusi catatan di Facebook. 

Pada perlumbaan hari ini, Tunku Abdul Rahman meneruskan prestasi cemerlang dengan kemenangan bergaya mendahului dari mula hingga akhir bersama Ben Green dengan jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R.

Sementara itu, Tunku Abu Bakar dan Jordan Love yang memacu jentera jenis sama terlepas kedudukan ketiga selepas berlanggar dengan skuad Team KRC di selekoh terakhir pada pusingan terakhir sekali gus menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-22. 

Kedua-dua jentera pasukan Johor Motorsports Racing (JMR) itu memulakan perlumbaan kedua hari ini di barisan hadapan selepas menyambar petak pertama pada pusingan kelayakan semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan