BELANJAWAN 2025 > BERITA

Ahmad Zahid Adakan Lawatan Kerja Lima Hari Ke New Zealand

14/07/2025 01:03 AM

Oleh Ahmad Erwan Othman

AUCKLAND, 13 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan lawatan kerja ke New Zealand bermula esok hingga 18 Julai.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand Mazita Marzuki berkata lawatan berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh hubungan diplomatik dua hala yang terjalin erat selama 68 tahun dengan New Zealand.

Beliau berkata lawatan Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memfokuskan untuk meneroka peluang kerjasama strategik merangkumi pelbagai bidang termasuk pertahanan, pertanian, pendidikan dan industri halal.

“Lawatan ini turut melambangkan kesinambungan pertukaran lawatan peringkat tertinggi antara kedua-dua negara,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mazita berkata ia termasuk lawatan kerja oleh bekas Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada 2 hingga 4 Mei 2023 manakala kunjungan pemimpin New Zealand ke Malaysia pula antaranya oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Winston Peters merangkap Menteri Luar pada Jun 2024 serta lawatan rasmi Perdana Menteri Christopher Luxon pada Sept 2024.

Beliau berkata Timbalan Perdana Menteri diiringi delegasi terdiri daripada pegawai-pegawai kanan Kerajaan Malaysia termasuk Kementerian Luar, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Mazita berkata antara pengisian utama lawatan Ahmad Zahid termasuk pertemuan dengan pemimpin tertinggi New Zealand pada 16 dan 17 Julai di Wellington.

Beliau berkata Ahmad Zahid dijangka bertemu Gabenor Jeneral New Zealand Dame Cindy Kiro dan Timbalan Perdana Menteri New Zealand David Seymour, Menteri Luar Winston Peters, Menteri Pembangunan Maori Tama Potaka dan Menteri Pertanian, Perdagangan dan Pelaburan Todd McClay.

Lawatan ini juga merangkumi penyertaan Ahmad Zahid selaku Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) dalam Forum Halal anjuran bersama Kementerian Industri Utama New Zealand dan menyaksikan pemeteraian dokumen kerjasama antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan New Zealand dalam kerjasama pendidikan tinggi.

“Selain itu ia turut melibatkan sesi libat urus bersama pemimpin industri dan perniagaan New Zealand termasuk Majlis Perniagaan ASEAN New Zealand dan Perbadanan Perusahaan dan Perdagangan New Zealand,” katanya.

Mazita berkata Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) akan melakukan lawatan ke Pusat Pengurusan Krisis Kebangsaan serta ke Sesi Meja Bulat bersama komuniti Mãori di Rotorua.

Di samping itu, beliau berkata Timbalan Perdana Menteri juga akan menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama 250 orang komuniti Malaysia di New Zealand yang bermastautin dan menetap di negara ini.

“Lawatan ini dilihat amat bertepatan dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025. la memberi peluang kepada Kerajaan Malaysia untuk berkongsi pencapaian awal, hala tuju serta keutamaan di bawah tema "Keterangkuman dan Kemampanan" dalam kerangka serantau ASEAN.

“Lawatan ini sekali gus mencerminkan iltizam kerajaan dalam memperkukuh hubungan diplomatik, mempromosi kepentingan nasional serta mengukuhkan kerjasama strategik antara Malaysia dan New Zealand,” katanya.

Kali terakhir pemimpin tertinggi Malaysia melawat New Zealand adalah Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Mac 2005 yang merupakan Perdana Menteri ketika itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan