BELANJAWAN 2025 > BERITA

SPRM, IACA Meterai LoI Teroka Peluang Baharu cegah Rasuah

11/07/2025 04:33 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memeterai surat hasrat (LoI) dengan Akademi Antirasuah Antarabangsa (IACA) bagi meneroka peluang baharu dalam bidang pencegahan rasuah di peringkat antarabangsa.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan majlis menandatangani LoI antara SPRM yang diwakili Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki dan IACA diwakili Dekannya Profesor Slagjana Tasevayang, diadakan di sini semalam.

Pada majlis itu, Azam berkata menerusi kerjasama berkenaan, SPRM dan IACA dapat berganding bahu menggunakan kepakaran masing-masing khususnya dalam pembangunan kapasiti dan keupayaan bagi mencegah gejala rasuah.

Beliau berkata SPRM yakin bahawa LoI itu akan dapat membuka peluang baharu kepada pegawai SPRM dan rakan serantau untuk mendapat manfaat daripada kepakaran global, sumber akademik serta rangkaian tenaga profesional IACA.

Azam berkata hubungan kerjasama antarabangsa dalam bidang pencegahan rasuah bukan lagi bersifat pilihan namun ia perlu dilihat sebagai perkara yang penting. 

"Revolusi perkembangan teknologi dunia dari semasa ke semasa turut membawa kepada perubahan baharu dengan wujudnya cabaran rasuah transnasional, jenayah kewangan yang semakin kompleks dan ancaman digital yang semakin canggih. 

“Disebabkan perkembangan yang semakin kompleks, tiada sebarang agensi atau negara mampu berdiri dengan sendiri,” katanya. 

Turut hadir pada majlis itu Penasihat IACA Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) SPRM Datuk Mohd Hafaz Nazar dan Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan (BDPP) SPRM Rasidah Abdul Karim.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan