BELANJAWAN 2025 > BERITA

AS Gambarkan Forum ASEAN Sebagai "Luar Biasa", Ulangi Komitmen Hubungan Serantau - Rubio"

11/07/2025 08:15 PM

Oleh Samantha Tan

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Amerika Syarikat (AS) menggambarkan penglibatannya dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) yang diketuai ASEAN sebagai “luar biasa”.

Setiausaha Negara AS Marco Rubio berkata AS mengulangi semula komitmennya terhadap ASEAN selaku pintu masuk diplomatik utama ke Asia Tenggara.

Beliau berkata AS kekal terhubung rapat dengan rantau ini sebagai sebuah negara Pasifik yang mempunyai hubungan kukuh serta warganegara yang menetap di tempat seperti Hawaii dan wilayah Pasifik lain.

“ASEAN merupakan jalan utama bagi AS untuk terlibat secara diplomatik di Asia Tenggara. AS ialah sebuah negara yang mempunyai hubungan yang mendalam dengan rantau ini. Kita sebuah negara Pasifik.

“Kami mempunyai warganegara AS yang menetap di rantau Pasifik, terutamanya di Hawaii dan wilayah lain dan kita juga mempunyai hubungan erat dengan banyak negara rakan kongsi di rantau ini,” katanya kepada media di luar Mesyuarat AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan, pada Jumaat.

Rubio berkata AS merupakan sumber pelaburan langsung asing (FDI) terbesar bagi rantau ini, sekali gus mengukuhkan kepimpinan ekonominya dan memperdalamkan kerjasama dengan negara-negara ASEAN.

Beliau berkata delegasi AS telah disambut dengan mesra dan positif sepanjang mesyuarat peringkat tinggi, yang menghasilkan keputusan bermakna serta bidang baharu untuk kerjasama masa hadapan.

“Kami telah bermesyuarat dengan sangat baik, dengan beberapa hasil nyata dan langkah tindakan baharu yang boleh kami usahakan bersama untuk tahun-tahun mendatang,” katanya.

Rubio berkata AS telah memeterai memorandum persefahaman dengan Malaysia mengenai kerjasama tenaga nuklear awam, yang disifatkannya sebagai sangat positif.

“Kami juga menyaksikan peningkatan hubungan dengan beberapa negara, yang akan dimuktamadkan dalam beberapa minggu akan datang. Jadi ini merupakan satu bentuk penglibatan yang sangat positif.”

“Kami turut memeterai beberapa perjanjian pertahanan atau penjualan peralatan pertahanan yang dapat kami umumkan kepada beberapa rakan kongsi kami semasa lawatan ini. Ia akan diumumkan tidak lama lagi.

“Secara keseluruhan, kami merasakan ini merupakan satu penglibatan yang sangat positif dan kami telah mengenal pasti bidang baharu untuk kerjasama,” katanya.

Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 dan mesyuarat berkaitan berlangsung dari 8 hingga 11 Julai di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan.”

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan