KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand menyatakan sokongan penuh terhadap misi USANITA Group dalam memperkasakan usahawan wanita Malaysia untuk berkembang ke pasaran antarabangsa, terutamanya di rantau Australasia.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand Mazita Marzuki menyifatkan USANITA sebagai sebuah platform dinamik yang berperanan memacu penyertaan wanita dalam ekonomi rentas sempadan.
“Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand menyokong pelaksanaan program strategik oleh USANITA di sini (New Zealand) yang mencerminkan kekuatan Malaysia dalam bidang keusahawanan, budaya dan diplomasi ekonomi,” katanya selepas majlis prapelancaran Bridge to Brilliance (BtB) 4.0: Australasia oleh USANITA di Hotel Park Hyatt di Auckland hari ini.
Antara program BtB 4.0 yang bakal dilaksanakan USANITA termasuklah pertunjukan fesyen warisan tradisional Malaysia sempena Hari Malaysia di Wellington, New Zealand pada September ini.
Selain itu, kempen ‘Taste of Malaysia’ akan turut dianjurkan bagi mempromosikan produk halal usahawan Malaysia manakala tayangan filem dan filem pendek hasil karya pelajar Malaysia pula akan dibuat sebagai manifestasi diplomasi budaya Malaysia yang progresif dan inklusif.
Mazita turut menegaskan kerjasama strategik itu bertepatan dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan sempena sambutan Hari Malaysia ke-62.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama dengan USANITA akan meningkatkan lagi imej Malaysia pada peringkat serantau dan global.
“Hubungan dua hala Malaysia–New Zealand semakin kukuh hasil lawatan rasmi Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon ke Malaysia pada September 2024 yang membuka ruang kerjasama dalam bidang perdagangan, inovasi, kelestarian dan hubungan rakyat dengan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif USANITA Datuk Adzliana Hasan menyifatkan sokongan daripada pihak Suruhanjaya Tinggi New Zealand sebagai satu pengiktirafan rasmi terhadap potensi wanita Malaysia dalam bidang diplomasi ekonomi.
“Ini bukan sekadar galakan moral, malah tanda kepercayaan terhadap peranan wanita sebagai pemacu diplomasi budaya dan ekonomi.
“BtB 4.0: Australasia bakal menjadi pelopor kepada era baharu keterlibatan wanita Malaysia di pasaran global khususnya di New Zealand dan Australia,” katanya.
Beliau berkata inisiatif BtB 4.0 telah bermula di New Zealand dengan penghasilan dua buah telemovie oleh USANITA bertajuk, 'Poskad Cinta Dari Auckland' dan 'Saling Tak Terlihat'.
“Penggambaran untuk dua telemovie yang berlangsung di sekitar Auckland akan selesai pada pertengahan bulan ini,” katanya.
Katanya penggambaran filem bertajuk 'Nafs' terbitan USANITA, hasil karya pengarah, pelakon dan penulis skrip Erma Fatima akan dibuat di New Zealand pada September ini.
Program BtB merupakan inisiatif berimpak tinggi oleh USANITA bagi memperkasakan usahawan Malaysia, khususnya wanita dan golongan B40.
Adzliana berkata fasa pertama dan kedua BtB yang meneroka peluang di Malaysia dan Indonesia, masing-masing dilancarkan pada 2022 dan 2023.
Fasa ketiga yang berlangsung di United Kingdom pada awal tahun ini melakar sejarah apabila USANITA menandatangani MoU bersama Said Business School, Universiti Oxford bagi penyediaan pendidikan eksekutif bertaraf dunia.
“Program BtB 4.0: Australasia juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh agenda inklusif serantau sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial