BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pusat Pengumpulan Durian Tangkak Bantu Elak Lambakan Pada Musim Puncak

11/07/2025 02:45 PM

JOHOR BAHRU, 11 Julai  (Bernama) -- Pusat pengumpulan durian di Tangkak bakal memainkan peranan penting dalam menyelaras pasaran durian di Johor sekali gus mengelakkan isu lambakan pada musim puncak.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor Datuk Zahari Sarip berkata pusat itu dibangunkan dengan usaha sama sebuah syarikat swasta dari Selangor yang akan menggunakan teknologi pembekuan nitrogen. 

“Pusat itu sudah siap dan sedang beroperasi secara kecil-kecilan. Apabila ia beroperasi sepenuhnya, durian dari kawasan sekitar seperti Segamat, Muar dan Tangkak akan dikumpulkan di sini untuk disejuk beku atau diproses kepada produk lain seperti pes dan jem.

“Pusat berkenaan juga membeli semua jenis durian termasuk gred A, B, dan C,” katanya dalam sidang media selepas Sesi Santai Makan Durian dan Buah-buahan Tempatan bersama Media di Pejabat FAMA Johor. 

Beliau berkata pusat itu terbuka kepada semua pekebun dan pengusaha durian tanpa mengira gred buah sekali gus membolehkan hasil tani dipasarkan secara lebih sistematik sepanjang tahun.

“Langkah ini dijangka membantu menstabilkan harga durian. Kita tak mahu bila musim tiba, berlaku lambakan sehingga harga jatuh. Dengan pusat ini, hasil boleh dikumpul, disimpan dan dikeluarkan secara berperingkat sepanjang tahun,” katanya.

Beliau berkata perbincangan sedang dijalankan antara pengusaha dan pengilang mengenai harga yang adil supaya pekebun kecil tidak terjejas.

Kerajaan Johor sebelum ini memperuntukkan sebanyak RM6.86 juta bagi pembangunan industri buah-buahan di negeri itu, melibatkan 474 penerima manfaat meliputi kawasan kira-kira 2,000 hektar.

Beliau berkata bagi durian sahaja, Johor mencatat pengeluaran sebanyak 189,787 metrik tan pada 2024,  melibatkan lebih 34,000 pengusaha di seluruh negeri.

Zahari berkata Johor turut menyumbang kepada eksport durian negara yang mencecah 13 juta kilogram (kg) pada tahun lepas yang bernilai kira-kira RM339 juta dan daripada jumlah itu, 7.2 juta kg dieksport ke Singapura melalui pintu sempadan Johor.

Selain Singapura, pasaran eksport durian Johor turut merangkumi China (4.4 juta kg), Hong Kong (sejuta kg) dan lebih 10 negara lain.

Antara varieti durian yang popular di Johor ialah Musang King, D13 atau durian kunyit, IOI, Tekka, Black Thorn, Kim Hong, durian kampung dan beberapa lagi jenis baharu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan