KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Kekuatan pasukan gergasi bola sepak negara Johor Darul Ta’zim (JDT) termasuk dengan kehadiran pemain warisan secara tidak langsung mengasah lagi taring Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata situasi itu juga jelas memberi kelebihan buat ketua jurulatih Peter Cklamovski untuk memantau rapat prestasi pemain negara yang kebanyakannya mewakili JDT.
“Kehadiran pemain JDT secara tak langsung menguatkan lagi pasukan kebangsaan mengharungi peringkat lebih tinggi selepas ini.
“Ia juga memberi lebih banyak pilihan kepada Peter untuk mendapatkan pemain yang terbaik sahaja mewakili negara,” katanya kepada pemberita pada majlis pemeteraian kerjasama antara FAM dan Bank Islam Malaysia Berhad di sini hari ini.
Baru-baru ini, juara bertahan Liga Super sebanyak 11 kali berturut-turut itu menandatangani empat pemain warisan baharu, iaitu pemain tengah Nacho Mendez, penyerang Joao Figueiredo, pertahanan Jon Irazabal dan pemain tengah Hector Hevel bagi menghadapi musim baharu Liga Malaysia (Liga-M).
Bagaimanapun, hanya Figueiredo, Irazabal dan Hevel sahaja yang pernah menyarung jersi Harimau Malaya setakat ini sewaktu kemenangan 4-0 ke atas Vietnam pada kelayakan Piala Asia 2027 di sini, bulan lepas.
Ditanya sama ada kekuatan dimiliki JDT memberi ketidakseimbangan kepada pasukan lain dalam Liga-M, Mohd Yusoff mengakui ia sememangnya berlaku ketika ini memandangkan pasukan dari selatan tanah air itu sudah jauh meninggalkan pencabar lain dalam kancah bola sepak tempatan.
“JDT terpaksa membuat demikian kerana mereka bersaing di peringkat tertinggi seperti Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Elite (ACL Elite) dan mungkin ke arah beraksi pada Piala Dunia Kelab Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
“Persediaan JDT itu memang tepat dan kita sebagai pasukan nasional perlu ambil kesempatan daripada situ, dengan kehadiran pemain-pemain yang kuat untuk JDT beri peluang kepada kita membina pasukan negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial