BELANJAWAN 2025 > BERITA

Emas Bersinar Sebagai Aset Selamat Ketika Ketidaktentuan Dunia - MGA

11/07/2025 06:25 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Permintaan global terhadap jongkong emas sebagai pelaburan selamat semakin meningkat, khususnya dalam kalangan bank pusat dan individu bernilai bersih tinggi (HNWI), menurut Persatuan Emas Malaysia (MGA).

Presiden MGA Datuk Wira Louis Ng berkata bank pusat di negara seperti China, Poland dan Kazakhstan giat meningkatkan rizab emas masing-masing untuk mempelbagaikan pegangan negara.

“Walaupun permintaan terhadap emas gred pelaburan semakin melonjak namun, kita menyaksikan segmen barang kemas emas mengalami penurunan di seluruh Asia, termasuk pasaran yang secara tradisionalnya kukuh seperti China dan India,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata harga emas antarabangsa kekal stabil pada sekitar US$3,300 satu auns, mencerminkan kenaikan sebanyak 24 peratus sejak awal tahun ini.

“Paras harga ini disokong oleh permintaan institusi yang kukuh, terutama daripada kalangan pengurus dana global yang membeli emas melalui dana dagangan bursa (ETF) bagi pihak pelanggan yang bernilai tinggi,” katanya.

Ng berkata trend itu berpunca daripada ketegangan geopolitik yang meluas -- termasuk konflik di Asia Barat, perang berterusan di Ukraine, dan geseran perdagangan antara Amerika Syarikat dan China -- yang menjadikan pelabur bersikap lebih berhati-hati.

“Berikutan ketidaktentuan ini, emas terus dilihat sebagai penyimpan nilai yang boleh dipercayai. Bank pusat, pelabur institusi, dan juga pelabur runcit bertindak balas sewajarnya terhadap keadaan ini,” katanya.

Bagaimanaun, beliau mengakui permintaan runcit terhadap barang kemas emas sedang menghadapi tekanan.

“Pasaran barang kemas runcit sedang mengalami trend menurun dan tidak menunjukkan momentum yang sama seperti emas gred pelaburan,” katanya.

Beliau menjangkakan pasaran emas kekal stabil dalam tempoh terdekat.

“Kami menjangkakan harga tidak banyak berubah dan berlegar di sekitar paras US$3,300, sementara pelabur terus memantau ketegangan global dan perkembangan ekonomi semasa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan