KUALA TERENGGANU, 11 Julai -- Hari kedua Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Terengganu diteruskan dengan pelbagai pengisian bermanfaat melibatkan pendidikan, warisan, komuniti dan kerohanian, selepas merekodkan kehadiran lebih 21,000 pengunjung pada hari pembukaan, semalam.
Tirai pagi hari ini dibuka dengan Larian Payang Walk dan Run sejauh masing-masing lima dan 10 kilometer melalui Terengganu DrawBridge dan Pantai Seberang Takir seawal 7 pagi.
Aktiviti pagi ini juga dirancakkan lagi dengan pertandingan memasak Bubur Asyura dan cabaran Explore Race bagi pelajar Institusi Pengajian Tinggi.
Di pentas utama dan mini, beberapa sesi interaktif turut akan diadakan seperti slot “Live Feed Trafik Lebuh Raya” oleh Kementerian Kerja Raya (KKR), pocket talk berkaitan keselamatan pekerja oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan perkongsian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengenai “Solat Atas Kerusi, Guane Hok Betul.”
Pada sesi petang, program dijangka lebih meriah dengan pengisian yang lebih rancak dan bersifat mendidik seperti sesi pocket talk oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkenaan DELIMa selain perkongsian Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengenai koperasi luar biasa.
Ia disusuli dengan pembukaan Karnival Candat Sotong di Jeti Pasar Payang dengan pelepasan peserta dan aktiviti mencandat sotong di perairan Terengganu.
Tidak kurang penting, program Tautan Hati Ganu bersama Rabbani yang berlangsung 5 petang di pentas utama sebagai acara kemuncak hari kedua.
Program tiga hari itu,yang berlangsung hingga Sabtu, menyasarkan kehadiran lebih 25,000 pengunjung.
Bertemakan “Pembangunan MADANI, Rakyat Sejahtera”, ia dianjurkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama KKR dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial