KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 memberi peringatan bahawa Forum Serantau ASEAN (ARF) berisiko hilang kerelevanan sekiranya tidak peka terhadap cabaran keselamatan serantau yang mendesak termasuk ketegangan maritim, ancaman siber dan perubahan iklim.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata walaupun ARF telah sekian lama menjadi platform penting untuk dialog dan rundingan, forum itu tidak seharusnya selesa dengan kejayaan dicapai setakat ini.
“Jika kita gagal bertindak balas, ARF berisiko kehilangan peranannya, lebih-lebih lagi ketika rangka kerja pelbagai hala yang berkesan dan kepimpinan boleh dipercayai amat diperlukan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan ARF ke-32 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Jumaat.
ARF diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan.
Bagi memastikan ARF kekal relevan dan berkesan, Mohamad berkata forum itu perlu peka dengan keadaan semasa serta bertindak balas dengan lebih cekap terhadap cabaran baharu.
“Menjadikan matlamat ini sebagai keutamaan adalah kunci bagi memastikan ARF kekal sebagai kerangka keselamatan serantau yang inklusif dan berwibawa,” katanya yang pada sama menyatakan komitmen Malaysia untuk memperkukuh semula peranan ARF.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial